Malaysiakini
BERITA

Bicara kes pengubahan wang haram Shafee ditangguh

Bernama

Diterbitkan

Perbicaraan kes peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bersambung 27 Ogos di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berkata perbicaraan kes itu yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan setelah tertuduh menjalani kuarantin kendiri sehingga 1 Ogos selepas menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.

"Oleh itu perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 27 Ogos," katanya semasa dihubungi pemberita hari ini.

Setakat ini, tiga saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lepas.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek yang dikeluarkan oleh bekas perdana menteri itu dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.