Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai dakwa netizen ambil kesempatan lanyak Sanusi
Diterbitkan:  Jul 22, 2021 7:17 PM
Dikemaskini: 11:43 AM

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah Muhamad Mat Yakim mendakwa terdapat warga maya sengaja menabur kebencian terhadap bosnya Sanusi Md Nor.

Katanya golongan itu mendakwa Sanusi sengaja melanggar prosedur operasi piawai (SOP) Covid-19 dengan memandu uji kereta ketika perintah kawalan pergerakan penuh sebelum ini.

“Walaupun kompaun telah dijelaskan, ada yang masih tidak berpuas hati.

“Motif mereka bukan semata-mata mahu beliau dihukum atas kesalahan melanggar SOP tetapi sengaja mahu mengambil kesempatan untuk melanyak beliau habis-habisan di media sosial bagi memburukkan imej dan reputasi menteri besar Kedah yang ke-14 ini,” katanya.

Dalam kenyataan petang ini, Muhammad juga mendakwa terdapat pembunuhan karakter bagi menutup kejayaan Sanusi membela nasib rakyat.

Katanya, dalam tempoh setahun saja, Sanusi menunjukkan prestasi cemerlang, terutama dengan membawa masuk pelaburan puluhan bilion ke negeri Kedah.

“Ini yang sedang diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk menutup cerita tentang kejayaan usahanya membela nasib rakyat sebaliknya yang dibesar-besarkan ialah hal kesalahan yang tidak disengajakan dan beliau sendiri telah menerima hukuman,” katanya.

Sementara itu, Muhammad juga berkata bayaran kompaun dibuat pada hari sama kompaun itu dikeluarkan Ahad lalu.

Muhammad menegaskan Sanusi tidak sengaja melanggar undang-undang tetapi terkhilaf memahami SOP.

Sanusi disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Komuniti media sosial kecoh sebelum ini susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Sanusi memandu uji kereta, sedangkan negara berada bawah sekatan pergerakan penuh dengan pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

Lihat Komen
ADS