Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibrahim: Tak ada negeri sehebat Kelantan, tapi...

Nama Ibrahim Ali sememangnya sudah tidak asing lagi dalam dunia politik tanah air hasil sumbangannya yang banyak sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

Dia yang kini merupakan presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sudah bergiat dalam politik selama lebih 50 tahun dan sangat 'masak' dengan liku-liku politik tanah air.

Dengan pengalaman itulah dia berkongsi pandangannya berkenaan keadaan semasa Kelantan melalui sesi bual bicara bersma Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan malam tadi.

Program Rakyat Kelantan Derita 30 tahun: PAS Retorik Guna Islam itu disiarkan secara langsung melalui platform YouTube.

Ditanya apa yang ada di Kelantan selepas ia ditadbir PAS sejak lebih 30 tahun lalu, Ibrahim berkata, sepatutnya negeri itu boleh menjadi maju serta terkenal.

Katanya Kelantan kaya dengan sumber alam seperti kayu-kayan, bijih dan alam semula jadi yang cantik namun sayangnya tidak dimanfaatkan dengan baik.

"Tiada negeri sehebat Kelantan dan sebenarnya ia boleh menjadi negeri tersohor di Malaysia.

"Dahulu kita ada kedai batik tapi sekarang lingkup, kedai songket juga hancur lebur. Apa saja yang ada lagi di Kelantan?" soalnya.

Cuma berkokok, telur tak ada

Jelas bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, apa yang ada kini ialah Pasar Siti Khadijah iaitu pusat komersial yang mengambil nama sempena salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW.

Malangnya kata Ibrahim kebanyakan barang yang dijual di situ adalah dari Thailand.

"Saya tahu sangat, jika barang dagangan dari Thailand itu tak dapat masuk ke Kelantan, maka akan lingkup juga Kelantan," katanya.

Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu juga menyarankan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada sektor pelancongan kerana ia dapat merangsang kegiatan ekonomi dengan sendirinya.

Mengenai industri makanan sejuk beku, Ibrahim berkata ia mampu dilaksanakan oleh penduduk Kelantan namun kebanyakannya dijual di dalam negeri saja, selain sedikit di sekitar Kuala Lumpur.

"Sepatutnya ia perlu dieksport juga," katanya.

Turut mendapat perhatian Ibrahim ialah aktiviti kebudayaan seperti dikir barat dan silat yang sepatutnya boleh dimeriahkan dengan adanya kepakaran dalam bidang tersebut.

Berkenaan politik pula Ibrahim berkata minda rakyat perlu dibuka untuk membolehkan mereka memahami bahawa PAS sudah gagal memerintah selama ini.

Malah menurutnya PAS boleh diibaratkan seperti ayam jantan kerana hanya berkokok tetapi tidak menghasilkan telur.

"Maka kalau kita nak pembaharuan dari segi kemajuan dalam Kelantan, kita kena ubah kerajaanlah.

"Cuma kita perlu mencari pemimpin baru yang dapat meyakinkan rakyat, jangan pula rakyat marah selepas itu pilih pemimpin ikut suka saja.

"Kalau kamu ada seorang pemimpin yang baik, Kelantan boleh maju," katanya.

Ibrahim juga menegur keputusan kerajaan Kelantan membeli dan menggunakan kereta Mercedes-Benz untuk menteri besar, exco dan pegawai kanan negeri.

"Pemimpin PAS boleh jawab 'kita menggunakan kereta Mercedes kerana mengamalkan sunnah nabi' yang menggunakan unta yang mahal," katanya.

Lihat Komen
ADS