Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tian Chua minta orang ramai sokong hartal doktor kontrak
Diterbitkan:  Jul 25, 2021 9:41 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Bekas anggota parlimen Batu, Tian Chua meminta rakyat Malaysia menyokong Hartal Doktor Kontrak yang diadakan esok dengan mengatakan layanan tidak adil terhadap sebahagian pegawai perubatan merupakan eksploitasi terhadap sistem penjagaan kesihatan.

Naib presiden PKR itu berkata, hartal berkenaan tidak akan menjejaskan rawatan terhadap pesakit dan kualiti perkhidmatan kesihatan secara keseluruhan.

"Protes yang dirancang ini tidak akan membahayakan rawatan untuk pesakit, sebaliknya merupakan luahan rasa kecewa mereka yang telah berkhidmat dengan sepenuh hati kepada orang ramai.

"Di kebanyakan negara di mana kesatuan diiktiraf dan berfungsi sepenuhnya, kesatuan sekerja menjadi wakil yang sah untuk berunding atas nama kepentingan pekerja.

"Walaupun doktor kontrak tidak mempunyai wakil kesatuan, hak mereka untuk menganjurkan protes harus dihormati," kata Chua (di atas), yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2018.

Kempen itu, tambahnya, bukan hanya untuk memperbaiki gaji dan syarat doktor kontrak.

"Perjuangannya adalah untuk mempertahankan sistem penjagaan kesihatan kita dan keadilan kepada doktor kontrak adalah keadilan untuk kesihatan rakyat Malaysia.

"Sokongan kepada doktor kontrak adalah cara untuk mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan" katanya.

Semalam, Gerakan Hartal Doktor Kontrak mengesahkan rancangan mereka untuk mengadakan protes akan diteruskan seperti dijadualkan lusa.

Dalam kenyataan dikeluarkan, mereka berkata tawaran kerajaan untuk menyambung kontrak - seperti diumum perdana menteri Muhyiddin Yassin bukanlah suatu penyelesaian.

Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan persetujuan untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terbabit dengan menawarkan pelantikan - secara kontrak -selama tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib.

Katanya, kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Lihat Komen
ADS