Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata gambar keadaan Hospital Serdang yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan keadaan Jabatan Kecemasan sementara menunggu beberapa peralatan kemudahan tiba di hospital itu.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sha'ari Ngadiman berkata, keadaan itu diperbaiki apabila khemah yang dilengkapi kemudahan disiapkan pada 21 Julai.
"Gambar keadaan Hospital Serdang yang telah viral itu menunjukkan keadaan Jabatan Kecemasan sementara menunggu beberapa peralatan kemudahan tiba di Hospital Serdang termasuk menyediakan khemah lengkap dengan penyaman udara dan kipas.
"Namun kerja-kerja menyiapkan kehemah-khemah bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang dilengkapi dengan kemudahan penyaman udara, kipas, kemudahan air bersih (water dispenser), kemudahan tandas dan elektrik yang lengkap telah siap pada 21 Julai 2021," katanya dalam kenyataan.
Dr Sha'ari berkata, pihaknya telah menjalankan langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi 'surge capacity' pesakit Covid-19 terutama bagi pesakit kategori 3 dan ke atas.
Selain itu katanya, sebanyak 81 katil tambahan telah disediakan untuk pesakit.
"Pelaksanaan perkhidmatan secara penyumberluaran (outsoucing sebahagian perkhidmatan klinik kepada hospital swasta sedang giat dijalankan bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital dan memastikan pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya teruatama kepada pesakit bukan Covid.
"Jabatan ini akan memantau pelaksanaan outsourcing ini mengikut tatacara yang telah disediakan oleh pihak kementerian Kesihatan Malaysia termasuk kriteria pemilihan pesakit dan hospital swasta yang lain," katanya.
Katanya lagi, setiap hospital juga telah mengoptimakan penggunaan fasiliti sedia ada di hospital seperti dewan bedah, klinik dan wad bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
"Penggunaan khemah tambahan sebagai wad sementara juga dilaksanakan di kebanyakan jabatan kecemasan di negeri Selangor.
"Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang optima kepada pesakit dan pihak kami juga menyeru kepada semua orang ramai untuk sentiasa mematuihi SOP sebagai norma baru," jelasnya.
Minggu lalu, Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah meminta kerajaan mengesahkan keadaan sebenar di Hospital Serdang, Selangor.
Gesaan itu dibuat selepas terdapat dakwaan melalui video yang tular bahawa terdapat pesakit tidur atas lantai, selain ditempatkan dalam khemah yang panas dan tidak selesa.
“Sudah lebih daripada 24 jam video ini telah tular di media sosial.
“Sampai hari ini masih tiada ada seorang daripada kerajaan PN mampu untuk menjawab mengenai dan memberi solusi mengenai isu ini,” katanya.
