mk-logo
Berita
Noor Hisham ingatkan doktor kontrak sumpah jawatan, jangan terbabit hartal
Diterbitkan:  Jul 25, 2021 11:33 PM
Dikemaskini: 4:32 PM

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta doktor kontrak untuk tidak menyertai mogok yang dirancang esok, mengingatkan mereka akan sumpah jawatan mereka.

"Menyeru semua rakan sekerja saya, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan untuk mengingati sumpah yang kita semua buat ketika kita memulakan profesion kita, Primum non nocere, pertamanya jangan lakukan sesuatu yang 'buruk’ atau ketidakadilan terhadap pesakit kita.

"Kepada rakan sekerja junior kami dalam jawatan kontrak, saya menggesa anda semua, jangan terbabit demonstrasi dan tinggalkan tugas anda terhadap pesakit anda.

"Ingatlah bahawa banyak nyawa sedang dipertaruhkan dan demonstrasi boleh mempengaruhi nyawa mereka dan juga kerjaya anda," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Noor Hisham berkata kerajaan telah menawarkan lanjutan kontrak dua tahun kepada doktor kontrak yang telah berkhidmat selama lima tahun.

Kesatuan Hartal Doktor Kontrak, yang melobi untuk jawatan tetap bagi doktor kontrak, menyifatkan penyelesaian yang dicadangkan kerajaan sebagai "separuh masak".

Pun begitu, Noor Hisham berkata lanjutan kontrak itu bertujuan memberi kerajaan waktu untuk memungkinan dibuat perjawatan tetap.

“Ini akan memberikan masa untuk pindaan dilakukan kepada Akta Pencen, supaya jawatan tetap boleh dibenarkan untuk mencarum dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), sebagai contohnya, tanpa pilihan untuk pencen.

"Sementara itu, kerajaan akan membenarkan mereka yang berada dalam jawatan kontrak untuk menyambung pendidikan mereka ke peringkat sarjana walaupun memegang jawatan kontrak dan akan menawarkan jawatan tetap KWSP setelah ia tersedia," jelasnya.

Noor Hisham mengulangi keselamatan pesakit mesti diutamakan.

“Saya ingin mengingatkan bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita. Ingatlah kepada sumpah yang kita ambil secara ikhlas dan untuk berada bersama pesakit anda pada ketika mereka dan negara anda amat perlukan.

“Kitalah barisan pertahanan terakhir untuk memberikan rawatan kepada pesakit kita dan setiap nyawa adalah penting,” katanya.

Di ruangan komen hantaran itu, seorang pengguna Facebook kemudian menuduh anak perempuan Noor Hisham mendapat layanan istimewa.

Bagaimanapun, Noor Hisham menafikan dakwaan itu, menegaskan anak perempuannya, seperti doktor kontrak lain, juga "terawang-awang seperti orang lain dengan ketidakpastian".

Doktor kontrak merancang melakukan tindakan perusahaan mogok secara 'walk out' dengan berhenti tugas dan keluar beramai-ramai pada jam 11 pagi esok.

Doktor kontrak melobi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Doktor kontrak junior kerajaan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan setelah tamat lima tahun perhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.

Terdapat kekurangan jawatan tetap doktor di hospital awam kerana kekurangan peruntukan kewangan kerajaan.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada Jumaat (23 Julai) menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu "separuh masak" menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan mereka untuk jawatan tetap.

Lihat Komen
ADS