mk-logo
Berita
IGP: Tiada maklumat hartal doktor ancam ketenteraman awam
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 7:47 AM
Dikemaskini: 11:47 PM

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata tidak ada tanda-tanda rancangan bantahan doktor kontrak akan mengancam ketenteraman awam.

"PDRM mengambil maklum gerakan oleh sebilangan doktor yang berhasrat menganjurkan protes pada 26 Julai 2021 di seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, PDRM akan mengatur penugasan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau aktiviti protes tersebut, demi memastikan segala SOP Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuatkuasa, dipatuhi semasa aktiviti diadakan," katanya pada satu kenyataan.

Doktor kontrak hospital kerajaan merancang melakukan tindakan perusahaan mogok secara 'walk out' dengan berhenti tugas dan keluar beramai-ramai pada jam 11 pagi hari ini.

Mengambil kira wabak Covid-19, penganjur Hartal Doktor Kontrak menggesa peserta mogok untuk memastikan ada doktor pengganti dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting perlu kembali bertugas jika keadaan memerlukan.

Pun begitu, pengurusan hospital awam telah memberi amaran kepada doktor kontrak untuk tidak terlibat hartal itu.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak melobi jaminan pekerjaan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Doktor kontrak junior kerajaan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan setelah tamat lima tahun perhidmatan wajib mereka di hospital kerajaan.

Terdapat kekurangan jawatan tetap doktor di hospital awam kerana kekurangan peruntukan kewangan kerajaan.

Akibatnya, ramai doktor kontrak terpaksa berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran mereka di luar negara.

Selepas berbulan-bulan melobi, kerajaan pada Jumaat (23 Julai) menawarkan untuk melanjutkan kontrak mereka sehingga enam tahun tetapi masih tidak menawarkan jawatan tetap.

Namun, kerajaan berjanji untuk memastikan doktor kontrak juga menikmati faedah serupa dengan doktor tetap.

Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tawaran kerajaan itu "separuh masak" menegaskan lanjutan kontrak bukan penyelesaian terhadap tuntutan mereka untuk jawatan tetap.

Lihat Komen
ADS