Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesakit Covid-19 tanpa gejala, bergejala ringan tak perlu ke CAC
Diterbitkan:  Jul 26, 2021 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Pasukan petugas khas Lembah Klang Besar (GKVSTF) meminta pesakit Covid-19 tanpa gejala atau bergejala ringan untuk tidak lagi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ini adalah sebahagian daripada langkah baru untuk mengurangkan kesesakan di CAC berikutan lonjakan kes Covid-19 di kawasan itu.

Sebaliknya, pengerusi GKVSTF, Dr Chong Chee Kheong berkata CAC secara maya telah diwujudkan untuk mengendalikan keperluan pesakit Covid-19 yang kurang serius.

CAC itu bertujuan menilai keadaan pesakit Covid-19, sama ada mereka perlu menjalani pengasingan kendiri di rumah, dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau dimasukkan ke hospital.

"Semua pesakit Covid-19 di Greater Klang Valley yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala diminta tidak mengunjungi CAC dan menjalani pengasingan diri di rumah dan pengawasan jarak jauh," katanya.

Chong berkata pesakit Covid-19 kategori itu diminta melaporkan ujian Covid-19 positif mereka di aplikasi MySejahtera untuk menerima arahan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital.

"HSO digital juga berfungsi sebagai peringatan bahawa mereka masih di bawah HSO walaupun mereka tidak memakai gelang merah jambu," katanya.

Sepanjang tempoh pengasingan diri di rumah, katanya lagi, mereka perlu melengkapkan butiran penilaian diri Covid-19 di rumah melalui aplikasi MySejahtera setiap hari.

"Penilaian diri pesakit akan dipantau melalui Modul Pengurusan CAC secara maya dalam sistem e-Covid-19.

"Mereka akan dihubungi oleh pusat panggilan CAC jika terdapat keperluan.

"Pesakit yang diminta untuk mengunjungi CAC terdekat untuk penilaian klinikal akan diberitahu melalui aplikasi atau pusat panggilan MySejahtera," katanya lagi.

Chong berkata lagi, pesakit yang menjalani kuarantin di rumah yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pusat panggilan CAC di talian 03-7723 9299 (8 pagi-9 malam) atau hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di 03-7723 9300 (8 pagi-12 tengah malam).

"Sekiranya gejala semakin buruk, pesakit harus mendapatkan rawatan segera di hospital terdekat dan tidak menunggu panggilan dari CAC maya," katanya.

Chong berkata langkah itu akan dapat mengurangkan kesesakan di CAC, mengurangkan masa menunggu pesakit dan memastikan pemantauan awal untuk semua pesakit Covid-19.

Selain itu, dia berkata kontak rapat kepada pesakit Covid-19 tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 kecuali mereka menunjukkan gejala.

Bagaimanapun, dia berkata mereka tetap perlu menjalani kuarantin di rumah.

Lihat Komen
ADS