mk-logo
Berita
Kecoh di parlimen, MP jerit 'derhaka'
Diterbitkan:  Jul 29, 2021 6:17 AM
Dikemaskini: 6:31 AM

PARLIMEN | Dewan Rakyat menyaksikan gema suara ahli parlimen yang menjeritkan kata "derhaka" selepas kenyataan Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah "amat dukacita" dengan pembatalan Ordinan Darurat.

Pada awalnya, para ahli parlimen sedang mengajukan soalan mengenai dasar kerajaan menangani wabak Covid-19, sebelum tiba-tiba ramai yang tunduk melihat peranti elektronik dan telefon bimbit masing-masing.

Ketika itu, kenyataan tegas Istana Negara bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat sudah menular di media sosial.

Agong dalam kenyataan Istana Negara itu juga menyatakan kekecewaan baginda terhadap kerajaan kerana telah menolak titahnya untuk membenarkan parlimen membahaskan peraturan ordinan darurat, yang merupakan proses sewajarnya untuk pembatalan undang-undang itu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (Port Dickson - PKR) kemudian secara rasmi memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai kenyataan Istana Negara itu, dengan pujian dari bangku pembangkang.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon, yang mempengerusikan sidang itu, nampaknya tidak menyedari titah Agong itu ketika Anwar mula membaca keseluruhan kenyataan.

Ketika dia membaca kenyataan itu, beberapa ahli parlimen menjerit "derhaka! Derhaka!".

Beberapa ahli parlimen juga menuntut agar speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kembali ke Dewan Rakyat dan mengambil alih tempat dari Rashid.

Azhar, seorang peguam terlatih, telah lama membela keputusan kerajaan untuk tidak membahaskan Ordinan Darurat pagi ini.

Dia telah memetik Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan keputusan kerajaan itu.

Kenyataan Istana Negara yang menegur kerajaan beberapa jam kemudian menjadikan keputusan itu dipertikaikan.

Ahli-ahli parlimen kerajaan terdiam sepanjang perkembangan perbincangan mengenai kenyataan Agong di Dewan Rakyat ini. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak ada ketika itu.

Namun, beberapa ahli parlimen menyasarkan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri.

"Bera (kawasan parlimen Ismail), cakaplah sesuatu," terdengar jeritan seorang ahli parlimen.

Ismail antara pemimpin utama yang berusaha menyekat usaha Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk-BN), yang juga presiden Umno, daripada mencuba mengeluarkan Umno daripada kerajaan PN.

Zahid tidak hadir sidang parlimen hari ini memandangkan dia sedang pulih daripada jangkitan Covid-19.

Isnin lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan mendakwa kerajaan telah membatalkan Ordinan Darurat, tanpa perlu kelulusan undian parlimen mahupun perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Perlembagaan Persekutuan menghendaki pembatalan Ordinan Darurat dilakukan melalui Parlimen.

Langkah itu secara meluas dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan undian di Dewan Rakyat apalagi di tengah-tengah majoriti kerajaan yang tidak pasti.

Berikutan pengumuman pada Isnin, penjelasan kerajaan PN pada hari-hari berikutnya membingungkan kerana tidak dapat memberikan jawapan langsung jika Ordinan Darurat telah dibatalkan.

Muhyiddin dianggarkan memiliki majoriti empat kerusi di Dewan Rakyat.

Pun begitu, ini menjadi tidak menentu apabila Zahid mengumumkan pada 8 Julai bahawa Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Umno mempunyai 38 Ahli Parlimen, yang majoritinya didakwa tidak sealiran dengan Zahid.

Namun, dengan majoriti tipis Muhyiddin, Zahid hanya memerlukan segelintir ahli parlimen Umno sahaja untuk menggulingkan Muhyiddin.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini