Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan, geledah rumah aktivis bawah Akta Hasutan

Polis telah menahan aktivis Sarah Irdina Mohammad Ariff, 20 di bawah Akta Hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak betul, setelah hadir untuk disoal siasat.

Soal siasat itu berkaitan dengan dengan catatan media sosial oleh kumpulan anak muda Misi Solidariti mengenai gerakan #Lawan.

Peguam Sarah, Goh Cia Yee memberitahu Malaysiakini bahawa Pegawai dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman (D5) menahan Sarah setelah soal siasat di balai polis daerah Dang Wangi.

Polis juga merampas telefon bimbitnya.

"Dia akan direman untuk semalaman di lokap Jinjang [...]

Polis kemudian menggeledah rumah Sarah kira-kira pukul 6:15 petang tadi.

"Tanpa waran," tambah Goh.

Polis sedang menyiasat Sarah di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Misi Solidariti merupakan "kolektif yang dipimpin oleh anak muda untuk memperkasakan masyarakat melalui nilai tindakan langsung dalam aktivisme di Malaysia".

Selepas media melaporkan mengenai penangkapan Sarah, beberapa kumpulan mengecam tindakan itu dan menggesa pembebasannya.

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), penganjur gerakan #Lawan, menyifatkannya sebagai tindakan ugutan.

"Ini adalah sebahagian siri intimidasi dan ancaman terhadap rakyat agar tidak keluar untuk tunjuk perasaan #Lawan pada 31 Julai di Dataran Merdeka.

“Rakan kami dari Misi Solidariti tidak seharusnya ditahan kerana dia telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dengan menghadirkan diri ketika dipanggil untuk disoal […]

"SSR mendesak polis untuk membebaskannya segera. Jika tidak, kita akan melakukan yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abd Hadi mengatakan Sarah telah menggunakan haknya untuk kebebasan bersuara.

"Muda menggesa agar Sarah dibebaskan segera [...]

"Muda menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus menggunakan hak kita untuk bersuara, dan memberi segala bentuk tekanan sehingga Sarah dibebaskan, juga sehingga kerajaan gagal hari ini berundur," katanya dalam satu kenyataan.

Turut menyatakan solidariti adalah Undi18, All Women's Action Society (Awam), dan Amnesty International Malaysia.

Sehingga jam 8 malam ini, hashtag #FreeSarah telah disebut dalam 3,407 ciapan Twitter.

Sekumpulan dari sayap Pemuda PSM juga mengadakan nyalaan lilin sebagai solidariti di hadapan lokap Jinjang malam ini.

 

Lihat Komen
ADS