Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Bekas penasihat Najib serah RM7.1 juta kepada 1MDB, kes ditarik balik

Kes bekas penasihat media Najib Razak, Paul Stadlen yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, ditarik balik selepas dia bersetuju melepaskan secara rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84 kepada 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata wang itu akan dipindahkan ke akaun 1MDB.

Menurutnya, berdasarkan persetujuan Jabatan Peguam Negara, satu penyelesaian telah dipersetujui melibatkan Stadlen dan penasihat undang-undang Umno Mohd Hafarizam Harun yang telah dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) membabitkan wang berjumlah RM15 juta.

"Perkara itu diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak. Sehubungan itu, kes terhadap dia (Stadlen) ditarik balik.

"Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tindakan kompaun di bawah Seksyen 92 (1) Akta 613 berjumlah RM590,587.26 dikenakan terhadap Mohd Hafarizam setelah mengambil kira serta mempertimbang alasan-alasan yang munasabah, termasuk lanjutan daripada penarikan balik kes terhadap Stadlen. Pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam ditarik balik setelah kompaun diselesaikan," menurut SPRM.

Pada 20 Feb 2019, pertuduhan terhadap Stadlen dibuat secara in absentia (tanpa kehadiran) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan pertama, Stadlen didakwa telah mengarahkan pembayaran melalui 27 transaksi membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM8,111,322.43 dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak kepada beberapa individu dan syarikat di antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 transaksi hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah RM6,139,078.34 dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat di antara Januari hingga Ogos 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Hari ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Mohd Hafarizam daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, yang didakwa diterima daripada Najib.

-Bernama

Lihat Komen
ADS