Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Insiden LRT3: Kementerian arah siasatan segera
Diterbitkan:  Jul 30, 2021 4:25 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Kementerian Sumber Manusia mengarahkan supaya siasatan segera dilakukan berhubung insiden di sebuah tapak pembinaan LRT3 di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam yang mengorbankan seorang mangsa, manakala empat yang lain mengalami kecederaan.

Katanya, pasukan penyiasat dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan melakukan siasatan menyeluruh.

"Ia juga akan melibatkan bahagian kejuruteraan forensik ibu pejabat jabatan dan bahagian keselamatan tapak pembinaan untuk mengenal pasti punca kejadian dan menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Ia turut mengingatkan majikan mengenai kewajiban dalam memastikan keselamatan, kesihatan, dan kesejahteraan pekerja mereka semasa bekerja, bawah akta tersebut.

"Kementerian ingin menekankan bahawa kami memandang serius semua kemalangan dan penyakit di tempat kerja yang berpunca dari aktiviti pekerjaan, termasuk kes kemalangan yang melibatkan sektor pembinaan," katanya.

Selain siasatan dari Kementerian Sumber Manusia, pemilik projek LRT Prasarana Malaysia Berhad juga mengarahkan kontraktornya MRCB George Kent untuk menjalankan siasatan.

Prasarana berkata syarikat tersebut telah meminta MRCB George Kent untuk memberikan laporan terperinci dan langkah-langkah mitigasi untuk mencegah insiden yang sama daripada berlaku pada masa akan datang.

“Kami sangat yakin bahawa keselamatan adalah yang paling penting dan memerlukan perhatian dan komitmen yang menyeluruh dari semua pihak yang terlibat, untuk memastikan keselamatan di tempat kerja terjaga dan kami mematuhi peraturan keselamatan sepanjang masa.

"Prasarana akan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk untuk menyegerakan siasatan kami sendiri terhadap masalah tersebut dan juga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib dalam memastikan siasatan menyeluruh dan bebas dapat dilakukan," kata syarikat itu dalam satu pernyataan malam tadi.

Prasarana menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat, serta mengucapkan terima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat dan polis yang membantu menyelamatkan semua mangsa dari lokasi kejadian.

"Punca kejadian belum dapat dipastikan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong juga mengucapkan takziah kepada keluarga pekerja yang meninggal dunia dan berdoa agar empat pekerja lain yang cedera sembuh dengan segera.

"Saya memandang serius insiden ini dan menggesa siasatan terperinci segera dijalankan secara menyeluruh,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, seorang pekerja binaan warga Bangladesh mati setelah perancah besi di tapak pembinaan LRT3 di sekitar Jalan Langat di Bandar Bukit Tinggi, Klang, runtuh sekitar hampir 3 petang.

Lihat Komen
ADS