Seorang ahli peniaga menyumbangkan tiga kontena kepada hospital dalam tempoh kurang dari 10 hari untuk dijadikan ruang simpanan mayat mangsa Covid-19.

Pengasas syarikat perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, R Jeyendran, 46, berkata dia sedih dengan keadaan hospital yang mengalami masalah tempat menyimpan mayat, serta barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas tanpa henti menguruskan mangsa wabak tersebut.

"Saya meluangkan masa meninjau keadaan hospital (bilik mayat) di beberapa hospital sekitar Lembah Klang.

"Saya sedih selepas melihat sendiri ruang penyimpanan mayat semakin terhad, dan barisan hadapan membuatkan saya menyumbangkan kontena mayat," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, sehingga kini dia menyumbang kontena berkenaan di tiga hospital.

"Pada minggu lepas, saya beri kepada Hospital Shah Alam, kemudian di Hospital UKM dan semalam di Hospital Sungai Buloh.

"Kontena berukur 40 kaki mampu memuatkan sehingga 30 mayat," katanya.

Dia menambah dua lagi kontena akan disumbangkang pada minggu hadapan dengan masing-masing satu untuk hospital di Kedah dan Negeri Sembilan.

"Saya mendapat panggilan dari pihak hospital memohon bantuan. Penyerahan dua kontena ini kini dalam peringkat akhir," katanya.