Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis bukan halang MP masuk parlimen, tapi nak sekat 'perhimpunan haram'

Polis tidak ada halangan untuk mana-mana ahli parlimen berkunjung ke ke bangunan itu sebaliknya bertindak menghalang mereka hari ini kerana wujudnya perhimpunan "yang tidak dibenarkan".

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim hari ini berkata pihak berkuasa mendapat maklumat suatu perhimpunan dikenali sebagai Solidariti Bersama Anwar Ibrahim akan diadakan.

Semakan dengan pengurusan parlimen pula, katanya, menunjukkan tiada persidangan berlangsung hari ini.

"Justeru polis telah membuat sekatan dan juga lencongan, tidak membenarkan kenderaan dan orang daripada memasuki parlimen.

"Itu asas tindakan polis pada pagi tadi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada ahli parlimen sepatutnya dibenarkan memasuki bangunan berkenaan, Azmi berkata, sepatutnya mereka memang tidak ada halangan berbuat demikian.

Hal itu kerana, kata Azmi, ahli parlimen terbabit mempunyai pejabat masing-masing di parlimen dan boleh ke situ walaupun tiada sidang berlangsung.

"Setakat yang saya tahu, mereka ada pejabat di situ, maka mereka dibenarkan masuk," katanya.

Ditanya apa yang berlaku sehingga ahli parlimen berkenaan dihalang, Azmi berkata, polis mendapat maklumat berlangsung satu perhimpunan yang bukan melibatkan parlimen.

"Polis mendapat maklumat ada perhimpunan, katanya solidariti, bukan perhimpunan parlimen... perhimpunan yang tidak dibenarkan," katanya.

Pagi tadi seramai 107 wakil rakyat pembangkang berkumpul dari Dataran Merdeka dan cuba bergerak memasuki parlimen pada hari yang sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas bagi membincangkan isu-isu semasa.

Sidang khas itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan ia dibuat bagi membolehkan ordinan darurat dibentang dan dibahaskan.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dijadual memberikan jawapan sama ada pembatalan ordinan darurat sudah mendapat perkenan Agong atau sebaliknya.

Bagaimanapun minggu lalu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaku ketua majlis membuat keputusan menangguhkannya atas alasan ancaman Covid-19.

Azmi berkata langkah menyekat laluan itu dibuat demi keselamatan orang ramai dan ahli parlimen terbabit.

Menurutnya lagi seramai 500 orang anggota dan pegawai bertugas hari ini.

Sementara itu Azmi berkata dua laporan diterima berhubung perhimpunan hari ini dan siasatan sudah dijalankan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Polis akan jalankan siasatan, daripada itu ia akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS