Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langgar SOP: Polis Kelantan siasat 16 individu solat jemaah

Polis Kelantan menyiasat aktiviti solat berjemaah yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan 16 individu termasuk kanak-kanak di sebuah surau di Kampung Batu 6, Pengkalan Chepa, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengatakan berlaku solat berjemaah di surau berkenaan kelmarin.

"Susulan laporan yang diterima itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dijalankan," katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kesemua jemaah melanggar SOP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, pihak polis akan mengambil keterangan semua jemaah terbabit bagi siasatan lanjut sebelum kompaun dikeluarkan.

Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial yang menunjukkan sekumpulan individu lelaki dewasa dan kanak-kanak sedang solat berjemaah.

Berdasarkan gambar tersebut mereka didakwa tidak melakukan penjarakan sosial selain jumlah jemaah yang melebihi had dibenarkan.

Sebagai rekod setakat ini Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) hanya empat jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 Jun lalu.

Lihat Komen
ADS