Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam pengerusi badan perhubungan negeri Umno sokong Zahid
Diterbitkan:  Aug 5, 2021 3:21 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Enam badan perhubungan Umno negeri telah menyatakan sokongan mereka kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi di tengah perpecahan dalam parti itu.

Dalam kenyataan berasingan, badan-badan perhubungan Umno dari Perak, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu menyokong keputusan parti itu pada 3 Ogos untuk menarik sokongannya dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Umno Perak mengatakan ia tetap parti kerajaan negeri walaupun melepaskan sokongannya terhadap PN.

"Pengumuman yang dibuat oleh presiden parti itu sejajar dengan keputusan yang dicapai pada perhimpunan agung tahunan yang lalu.

"Dengan penarikan sokongan beberapa ahli parlimen Umno, kami yakin bahawa PN dan Muhyiddin telah kehilangan majoriti mereka di Dewan Rakyat.

"Oleh itu, Umno Perak akan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai kerajaan negeri dengan menumpukan usaha dalam menangani wabak Covid-19," kata Ketua Umno Perak, Saarani Mohamad dalam satu kenyataan semalam.

Umno Perak menambah bahawa ia menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Zahid mengenai pendirian parti itu berhubung situasi politik semasa.

Ketua Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail juga menggesa kepimpinan parti dan ahli di pelbagai peringkat untuk terus menyokong keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang selaras dengan keputusan yang dibuat semasa Perhimpunan Agung Umno.

Umno Melaka turut berkongsi pandangan sama.

"Badan perhubungan negari menggesa ahli parlimen yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk akur keputusan parti dan menarik sokongan mereka dari kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri," katanya semalam.

Begitu juga, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir memberitahu pemimpin dan ahli parti untuk terus bersatu dan mengutamakan perjuangan parti daripada kepentingan peribadi.

Walaupun Umno mempunyai 38 kerusi parlimen di Dewan Rakyat, Zahid hanya berjaya mendapatkan 11 ahli parlimen untuk menarik sokongan mereka daripada PN dan Muhyiddin.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dalam satu kenyataan berkongsi pandangan sama berkata keputusan menarik sokongan daripada PN dan Muhyiddin adalah mencerminkan pelaksanaan secara menyeluruh dari akar umbi yang telah menyerahkan mandat kepada MKT semasa Perhimpunan Agung Umno,

"Ini adalah bertepatan dengan Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO untuk mendokong dan mempertahankan perlembagaan negara, perlembagaan negeri - negeri dan Raja Berperlembagaan," katanya.

Sementara Pengerusi Badan Perhubungan Umni Terengganu Nik Dir Nik Wan Ku berkata pihak mereka sebulat suara menyokong pendirian parti.

"Keputusan ini jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti selaku ketua kerajaan dan mesti meletakkan jawatan sebagai perdana menteri secara terhormat," katanya.

Lihat Komen
ADS