Puteri Umno: Ahli Umno tersinggung dengan Dr M
Puteri Umno berkata, ahli parti itu kini tersinggung dengan pendekatan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mereka diasuh dan dididik agar setia dan berdiri teguh di belakang kepimpinan yang ada tetapi kini Dr Mahathir telah bertindak sebaliknya.
Puteri Umno berkata, ahli parti itu kini tersinggung dengan pendekatan yang diambil oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mereka diasuh dan dididik agar setia dan berdiri teguh di belakang kepimpinan yang ada tetapi kini Dr Mahathir telah bertindak sebaliknya.
Naib Ketuanya, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata walaupun apa pun alasan Dr Mahathir, kritikan berterusan bekas Perdana Menteri itu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu tindakan yang merugikan parti.
"Umum mengetahui Pak Lah seorang yang bersikap terbuka, tetapi dengan serangan berterusan seperti itu pastinya melukakan perasaannya sekaligus menyinggung ahli parti yang lain,'' katanya kepada Bernama.
Rosnah yang juga ahli Parlimen Papar mengulas pendekatan Dr Mahathir yang terus mengkritik pentadbiran Abdullah selain membuat beberapa dakwaan baru yang mungkin memburukkan lagi suasana politik negara.
Katanya, sebelum pertemuan empat mata berlangsung Ahad lalu, ahli Puteri Umno berharapan tinggi untuk melihat hubungan dua tokoh itu kembali pulih.
"Tetapi kami amat terkejut dan kecewa kerana cara dan pendekatan Dr Mahathir...banyak saluran lain yang boleh diambil jika kepimpinan Pak Lah perlu ditegur atau dikritik.
"Begitu juga Puteri mahukan Dr Mahathir mengemukakan idea-idea baru yang dapat memantapkan lagi kerajaan hari ini bukannya menimbulkan suasana tidak selesa," katanya.
Silap perhitungan
Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin pula menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini adalah menyedihkan bagi umat Melayu kerana mereka gagal melihat satu perdamaian yang diharapkan antara seorang bekas pemimpin negara dan penggantinya, menjelang Aidilfitri.
"Sepanjang ingatan saya ini adalah kali kedua perhitungan politik yang silap dilakukan oleh Dr Mahathir. (Dahulu) Selepas bawa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke (dalam) Umno untuk kuatkan Umno, akhirnya Umno rosak", katanya kepada Bernama.
Katanya, tinjauan rambang pegawai Kementerian Penerangan dalam tempoh sehari selepas Dr Mahathir membuat kenyataan tersebut, mendapati simpati terhadap Abdullah meningkat begitu tinggi dan orang ramai kesal dengan sikap bekas Perdana Menteri itu membuat kenyataan terbuka tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, Kementerian Penerangan akan membuat kajian lebih terperinci mengenai sikap rakyat terhadap perkembangan itu.
"Ramai orang tak setuju dan merasakan tak sewajarnya Dr Mahathir membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk," katanya.
Zainuddin berkata, beliau sendiri terkejut dengan kenyataan Dr Mahathir yang meramalkan masa depan Barisan Nasional (BN) yang gelap.
"Tiga hari sebelum pertemuan itu, saya sendiri katakan kepada Pak Lah (Perdana Menteri) bahawa saya tak yakin pertemuan itu akan datangkan hasil yang positif," katanya.
Ikut saluran
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berharap agar Dr Mahathir menghentikan komen-komen yang tidak sihat terhadap kepimpinan Abdullah kerana ia merupakan perbuatan yang kurang sopan daripada seorang ahli kepada partinya sendiri.
"Saya kata begitu sebab ia tidak pernah terjadi dalam Umno di mana ahli boleh memaksa ketuanya untuk mengikut kehendak seseorang.
"Jika semua apa yang dibuat oleh kerajaan nak dikomen dan dipertikaikan secara besar-besaran ia jelas tidak proper," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tok Has dekat Jertih, semalam.
Dalam sidang akhbarnya di Seri Kembangan tiga hari lalu, Dr Mahathir terus mengkritik pentadbiran Abdullah di samping membuat beberapa dakwaan baru yang mungkin akan memburukkan lagi suasana politik.
Mengulas lanjut, Idris berkata bukan menjadi kesalahan jika membuat komen terhadap seseorang pemimpin tetapi perlu dibuat mengikut saluran yang betul.
"Saya sendiri pernah melakukannya (membuat komen) terhadap Pak Lah tetapi yang bezanya kita lakukan secara betul yang tidak bertentangan dengan Islam," katanya.
Manakala Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Tun Dr Mahathir itu tentulah telah menyebabkan ramai rakyat rasa tidak puas hati kerana harapan mereka mahu melihat persefahaman antara kedua tokoh berkenaan tidak tercapai.
"Mereka mengharapkan pertemuan empat mata itu akan dapat merungkai segala masalah yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dam sepatutnya beliau tidak mengeluarkan lagi kritikan terhadap kerajaan.
"Tetapi malangnya, bekas Perdana Menteri itu terus mengkritik kerajaan dan kepimpinan Datuk Seri Abdullah malah kali ini lebih keras lagi," katanya kepada para pemberita selepas mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Jalan Timbalan, Tanjung Emas, Muar, semalam.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.