Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Kes gejala serius petunjuk baru peralihan fasa PPN

Kes bergejala serius akan dijadikan indikator baru untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa Tiga dan Empat.

Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan menggunakan proksi kes kemasukan hospital baru bagi Covid-19 yang disesuaikan untuk kategori 3, 4 dan 5.

“Setelah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduk dewasa dan ke atas, bilangan kes baru Covid-19 menjadi kurang relevan kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2), sekali gus mengurangkan beban terhadap infrastruktur kesihatan awam.

“Bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih dikekalkan,” katanya dalam Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) ke-64.

Zafrul yang juga Menteri Kewangan berkata berdasarkan data dan sains, kadar vaksinasi penduduk yang tinggi membantu mengurangkan kes bergejala serius.

Pemerhatian ini, katanya selaras bukan sahaja dengan pengalaman antarabangsa tetapi juga untuk Sarawak dan Labuan.

Dia berkata selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan ke Fasa Dua dan Fasa Tiga, Perlis, Sarawak dan Labuan dilihat memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke Fasa Tiga.

“Perlis sudah pun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa Tiga, manakala Sarawak telahpun mencapai kadar vaksinasi 63.7 peratus penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa Empat untuk indikator ini iaitu 60 peratus.

“Walaupun jumlah kes Covid-19 di Sarawak melebihi 300 sehari, tetapi bilangan kes setiap hari yang dikenal pasti kategori 3, 4 dan 5 kurang daripada 10 kes atau dua peratus daripada kes yang dilaporkan,” katanya.

Menurutnya situasi di Labuan merupakan satu kejayaan, kerana walaupun pernah mengalami keadaan ‘tenat’ dengan penularan tak terkawal, namun hasil gerakan vaksinasi secara besar-besaran, kes baharu serta kes di ICU jatuh dengan ketara.

“Selaras dengan pengalaman Sarawak, Labuan juga menunjukkan penurunan kes baru secara keseluruhan dan kejatuhan ketara kes di ICU yang sangat rendah seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS