Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Keputusan di tangan Agong jika parlimen gagal tentukan majoriti
Diterbitkan:  Aug 5, 2021 9:52 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Keputusan seterusnya akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong sekiranya parlimen gagal menentukan majoriti yang dimiliki perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan, kata bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bercakap pada sidang media dalam talian hari ini, Pengerusi Pejuang itu berkata kebuntuan di parlimen boleh diselesaikan dengan mengadakan pilihan raya umum.

Dia bagaimanapun mengakui terdapat kekangan untuk mengadakan PRU ketika wabak melanda pada masa ini, menyebabkan keputusan kini terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam keadaan normal, kita akan adakan pilihan raya umum.

"Dalam keadaan yang tidak normal ini, terserah kepada Agong untuk membuat keputusan, seperti ketika Agong melantik saya sebagai perdana menteri sementara," kata Mahathir merujuk pengunduran dirinya daripada memimpin kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Mengenai apakah Pejuang bersedia menyokong kerajaan minoriti, Mahathir berkata parti itu akan menerima setiap keputusan yang dibuat Agong, dengan mengambi kira kekangan untuk mengadakan PRU.

Menegaskan Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti, Dr Mahathir menggesa sesi persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada September depan dengan pembentangan usul undi percaya dipercepatkan.

"Apa yang kami yakini sekarang, dia tidak memiliki majoriti. Jadi bagaimana dia boleh kekal sebagai perdana menteri?

"Kita tahu lapan anggota Umno menarik sokongan mereka, jadi dia tidak memiliki majoriti.  Sebetulnya dia harus adakan mesyuarat parlimen sekarang supaya kita dapat putuskan jika dia mempunyai majoriti," katanya.

Ditanya berhubung pendiriannya jika Muhyiddin digantikan oleh perdana menteri dari Umno, Mahathir berkata, "sekarang kita hanya ingin menyatakan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti."

"Mengenai persoalan siapa yang akan dilantik sebagai penggantinya, itu adalah soalan asing yang boleh ditentukan oleh parlimen," katanya.

Mahathir juga berkata ahli parlimen Pejuang di parlimen setakat ini tetap berada dalam blok yang berasingan daripada Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain.

Pada Isnin lalu, Mahathir menyertai lebih 100 anggota parlimen pembangkang berarak ke parlimen bagi membantah penutupannya. Kerajaan memberikan alasan penagguhan persidangan khas parlimen dibuat berikutan pengesanan 11 kes positif Covid-19 minggu lalu.

Muhyiddin semalam mengumumkan dia bersedia berdepan dengan usul undi percaya ketika parlimen bersidang bulan depan.

Ini menimbulkan dakwaan bahawa perdana menteri akan menggunakan cara lain bagi mendapatkan sokongan.

Saingan politik Muhyiddin, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, menuntut persidangan parlimen diadakan sekarang untuk menentukan apakah perdana menteri itu masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS