Jumlah kes baru Covid-19 yang dikesan setakat tengah hari tadi terus menunjukkan angka tinggi dan melebihi 20,000 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, bagi tempoh 24 jam lalu sebanyak 20, 889 kes baru dikesan dengan Selangor dan Kuala Lumpur menjadi penyumbang utama.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 1,224,595 kes.

Kebanyakan kes (12,059 kes, 57.7 peratus) dikesan mengenai pengesanan kontak, manakala 6,871 kes lagi (32.9 peratus) menerusi saringan lain.

Selain itu, sebanyak 1,946 kes (9.3 peratus) berkaitan dengan kluster manakala 13 kes (0.06 peratus) adalah kes import.

Berikut status utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Pesakit sembuh: 16,394 (993,020 kes kumulatif, 81.1 peratus);
  • Kes baru: 20,889 (1,224,595 kes kumulatif);
  • Kes aktif: 221,396
  • Pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU):1,096
  • Pesakit perlu bantuan pernafasan: 545
  • Kematian: 160 

Mengulas peningkatan kes dan bilangan kluster, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan kes antara lain disebabkan peningkatan saringan.

Ekoran kesedaran yang tinggi, ramai yang membuat ujian Covid-19 selepas mengalami gejala atau mendapati mereka menjadi kontak rapat, katanya sambil menambah 70 peratus ujain RTK-Ag dibuat di sektor swasta.

Dia juga membangkitkan penularan varian Delta, dengan 199 kes dalam komuniti sudah dikenal pasti setakat ini.

"Varian Delta ini telah menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan yang diberikan.

"Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dan kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan vaksinasi Covid-19.

"Dijangkakan kes akan mula menurun pada akhir bulan Ogos apabila lebih daripada 40 peratus populasi di Malaysia mendapat dos lengkap vaksin," katanya lagi.

Kematian

Terdapat 160 pesakit lagi yang meninggal dunia hari ini, dengan 39 daripadanya tidak mengalami sejarah penyakit kronik.

Kes kematian dilaporkan di Selangor (51), Johor (32), Kedah (22), Kuala Lumpur (17), Negeri Sembilan (14), Pahang (6), Sabah (5), Melaka (4), Terengganu (4), Perak (3), dan Pulau Pinang (2).

Seramai 24 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

Terdahulu hari ini, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam) Dr Chong Chee Kheong berkata kebanyakan pesakit yang meninggal dunia bukan di hospital - lazimnya melibatkan warga asing - tidak dikesan dijangkiti Covid-19 sehinggalah mereka meninggal dunia.

Bagaimanapun, 20 peratus kes kematian melibatkan kes yang lambat mendapatkan rawatan.

Kluster

Terdapat 34 lagi kluster baru, menjadikan kluster aktif setakat ini sebanyak 1,191 kluster.

daripada jumlah itu, 19 kluster dalam kategori tempat kerja, diikuti 12 kluster komuniti dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

Berikut adalah pecahan kes-kes baru mengikut setiap negeri dan jumlah kumulatif masing-masing:

  • Selangor - 8,792 (451,366)
  • WPKL - 2,483 (136,071)
  • Johor - 1,275 (97,962)
  • Sabah - 1,291 (91,201)
  • Sarawak - 652 (80,174)
  • Negeri Sembilan - 986 (76,753)
  • Kedah - 1,371 (53,474)
  • Pulau Pinang - 776 (50,715)
  • Kelantan - 938 (47,633)
  • Perak - 624 (42,289)
  • Melaka - 491 (34,644)
  • Pahang - 610 (27,809)
  • Terengganu - 460 (19,673)
  • WP Labuan - 9 (9,707)
  • WP Putrajaya - 122 (4,359)
  • Perlis - 9 (765)