Kematian kanak-kanak Filipina bukan salah kita
Pasukan Petugas Khas Persekutuan di Sabah hari ini berkata siasatan terhadap kematian dua kanak-kanak warga Filipina ketika dihantar pulang empat minggu lalu telahpun siap dan akan diserahkan kepada pihak Filipina.
Pasukan Petugas Khas Persekutuan di Sabah hari ini berkata siasatan terhadap kematian dua kanak-kanak warga Filipina ketika dihantar pulang empat minggu lalu telahpun siap dan akan diserahkan kepada pihak Filipina.
Hasil siasatan tersebut? Ianya bukan salah kita tetapi salah mereka, kata Pengarah Pasukan Petugas Sabah, Masri Barham.
Masri berkata, kematian Timah Basir, 13, dan Nurhani Nurmi, 3 kedua-duanya telah dihantar pulang pada 29 September lalu bersama ibubapa mereka yang masuk ke Malaysia tanpa izin berlaku ketika mereka berada dengan pihak berkuasa Filipina.
Sebelum itu mereka ditahan di pusat tahanan imigresen di Menggatal, Sabah.
Timah dan Nurhani kedua-duanya berasal di Sumisip di Basilan, Selatan Filipina mati sejurus selepas menaiki feri Danica Joy milik Fipilina yang membawa mereka dari Sandakan ke Bandar Zamboanga.
Timah meninggal dunia pada 29 September akibat kekurangan zat makanan yang serius serta hypoglycaemia (kekurangan glukos dalam darah) semasa dalam feri tersebut, manakala Nurhani meninggal dunia di Pusat Perubatan Bandar Zamboanga setibanya di sana pada 30 September.
Masri, bagaimanapun berkata, para pegawai Malaysia telahpun bertanya keluarga Timah dan Nurhani sama ada anak-anak mereka itu sihat sebelum menaiki feri tersebut.
Bukan salah kita
Walaupun Timah dan Nurhani mengalami demam, tetapi pihak berkuasa tidak merujuk mereka kepada hospital berdekatan kerana ibu bapa mereka berkata anak-anak mereka tidak apa-apa, kata Masri lagi.
"Jika benar-benar sakit, mereka tidak akan dihantar pulang. Kita bertanya kepada keluarga (Timah dan Nurhani), dan mereka memberitahu kami (anak-anak mereka) tidak apa-apa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, apabila tiba di Zamboanga, ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Filipina untuk menjaga kebajikan mereka yang dihantar pulang itu.
Menurutnya lagi, mereka di pusat tahanan menjalani pemeriksaan perubatan dan dihantar untuk rawatan sekiranya diperlukan.
"Anda boleh memeriksa rekod perubatan kami di Menggatal," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan Malaysia menanggung kos penjagaan pendatang tanpa izin terbabit.
Pemeriksaan perubatan
Menjelaskan lanjut mengenai kematian kanak-kanak tersebut walaupun terdapat doktor di atas feri berkenaan, Masri berkata mungkin terdapat ramai penumpang sehingga doktor tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberi perhatian kepada Timah dan Nurhani.
Selain itu, katanya, kemungkinan mereka tidak mendapat perhatian perubatan secukupnya ataupun kekurangan ubat di atas feri tersebut.
Feri tersebut membawa 531 pendatang tanpa izin pada 29 September lalu. Sejak 10 bulan lalu, 12,000 pendatang telah dihantar pulang, kata Masri.
Masri juga berkata, Timah dan Nurmin telah ditahan selama satu hingga dua bulan manakala pemeriksaan dijalankan oleh Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk mengesahkan kerakyatan mereka.
Para tahanan biasanya dihantar pulang dalam tempoh dua tiga minggu sekiranya selepas mendapatkan pengesahan dari pihak Filipina, kata Masri.
"Rakyat Filipina dari bahagian Utara biasanya cepat mendapat dokumen kerana mereka didaftarkan (di Filipina). Kebanyakan mereka dari selatan Filipina dan kepulauan kecil di sana tidak mempunyai rekod dan oleh itu mengambil masa yang lama untuk mendapatkan pengesahan," katanya lagi.
"Kedua, tidak seperti Indonesia, yang mempunyai kuasausaha di Kota Kinabalu, kita terpaksa melakukan semakan dengan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, yang seterusnya membuat semakan dengan Manila," tambahnya.
Masri berkata, laporan siasatan tersebut akan diserahkan kepada pegawai Kedutaan Filipina apabila mereka mengadakan pemeriksaan yang akan datang di pusat tahanan imigresen di Sabah.

