Bersih sambut baik pemimpin Umno letak jawatan, gesa reformasi pelantikan GLC
Badan pemantau pilihan raya, Bersih mengingatkan yang salah guna berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh membawa kesan buruk terhadap perjalanannya, serta kestabilan politik dalam negara.
Dalam kenyataan hari ini, Bersih menggesa kerajaan PN berhenti menggunakan jawatan dalam kerajaan sebagai alat politik untuk mengukuhkan kuasa dan menarik sokongan.
"Salah guna GLC dan amalan naungan politik membiakkan kronisme dan korupsi, dan sering kali menjejaskan keberkesanan GLC dengan pelantikan yang dibuat bukan berasaskan merit, seperti pelantikan Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Prasarana," katanya.
Gabungan NGO itu mengalu-alukan peletakan jawatan sejumlah pemimpin Umno baru-baru ini, antaranya naib presiden Mohamed Khaled Nordin dan ahli Majlis Tertinggi Razlan Rafii.
Pada masa sama, Bersih menyuarakan kebimbangan yang kekosongan jawatan tersebut akan digunakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meraih sokongan.
"Sementara peletakan jawatan dua ahli politik Umno mungkin satu protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), kami bimbang protes itu akan menjadi sia-sia kerana kekosongan jawatan itu akan pantas digunakan PN untuk meraiah sokongan dan mempertahankan kuasa," katanya lagi.
Justeru, ia menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang berkaitan pelantikan dalam GLC yang akan membolehkan penilaian dwipartisan terhadap calon dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen, serta menghalang pemimpin politik daripada memegang jawatan di dalamnya.
"Undang-undan itu juga patut memnbuatkan GLC meningkatkan ketelusan menerusi laporan berkala yang mengandungi maklumat penting seperti pelantikan pengerusi dan pengarah, bayaran dan sebagainya," kata Bersih lagi.

