Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomoh dipukul dengan penyangkut baju, enam ditahan polis

Seorang pengamal perubatan tradisional dipukul sekumpulan lelaki akibat tidak berpuas hati dengan cara perubatan yang dilakukan dalam kejadian di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan pada 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, mangsa, 39 tahun mendakwa dipukul empat lelaki dengan menggunakan batang plastik dan penyangkut baju sehingga meninggalkan kesan lebam di mata kiri serta calar di bahagian muka.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Perlis itu pada awalnya datang ke Kelantan atas perbincangan urusan rawatan bersama suspek.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa telah pergi ke sebuah rumah inap desa di Kubang Kerian untuk berjumpa dengan suspek bagi membincangkan urusan perubatan sekitar jam 9.45 malam.

"Kemudiannya suspek bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati dengan cara perubatan yang disyaki mangsa mengamalkan cara yang salah," katanya kepada media ketika ditemui pada program Komuniti Lawatan Ke Pusat Pemberian Vaksin SK Padang Mandol, Tumpat, hari ini.

Tambahnya, mangsa sedang mendapat rawatan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu disebabkan masalah obesiti dan kencing manis.

"Pihak kami telah melakukan tangkapan ke atas enam orang suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek telah diberi jaminan polis selepas diambil keterangan," katanya.

Lihat Komen
ADS