Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua lagi individu ditahan atas dakwaan hina MB Kedah
Diterbitkan:  Aug 10, 2021 1:03 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Polis telah menahan dua individu berhubung dakwaan menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menerusi komen yang disiarkan di Facebook bulan lalu.

Menurut Harian Metro, kedua-dua lelaki itu, berusia 42 dan 52 tahun, ditahan di rumah masing-masing di Alor Setar pada pukul 5.30 petang dan 6.15 petang semalam.

Mereka masing-masing merupakan ahli perniagaan dan mekanik.

Kedua-duanya dilaporkan mengaku telah menulis dan menyiarkan komen di akaun Facebook seorang pemimpin politik.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir mengatakan bahawa pegawai khas kepada Sanusi telah membuat laporan di Balai Polis Alor Setar sekitar jam 10.30 pagi semalam.

"Salah seorang adalah pekerja swasta dan seorang lagi ahli perniagaan. Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah sebelumnya dan dibebaskan dengan jaminan setelah ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, seorang warga emas berusia 61 tahun dari Negeri Sembilan ditangkap dan ditahan berhubung sebuah video yang didakwa menghina Sanusi setelah menteri besar itu dikatakan membuat "gurauan kasar" tentang kontena jenazah pesakit Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah mengesahkan bahawa polis mengesan lelaki itu dan menyerbu rumahnya.

"Lelaki itu direman dan dibebaskan dengan jaminan polis setelah kenyataannya diambil," katanya.

Adzli berkata kejadian video itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan ​yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 berkaitan dengan tingkah laku menghina yang boleh dikenakan denda sehingga RM100.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 mengenai penyalahgunaan kemudahan rangkaian yang boleh dihukum denda hingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya

Lihat Komen
ADS