Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP DAP berbeza pandangan bincangkan tawaran Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 13, 2021 9:20 PM
Dikemaskini: 4:03 PM

Sejurus selepas Muhyiddin Yassin membentangkan cadangan pembaharuan diilhamkan kerajaan Perikatan Nasional, seorang ahli parlimen DAP mencadangkan agar idea itu dibincangkan.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, berkata saranan itu wajar diperhalusi oleh semua pihak kerana ia boleh memberikan kesan jangka panjang kepada politik negara jika diluluskan.

Menyatakan pandangannya di Twitter Ong berkata perdana menteri - yang juga presiden dari Bersatu itu - mengemukakan cadangan pembaharuan institusi yang menjanjikan.

"Saya fikir semua parti politik patut duduk berbincang jika syarat-syaratnya boleh diterima atau tidak, atau bagaimana?" ciapnya.

Bagaimanapun seorang lagi ahli parlimen DAP pantas menolak saranan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

"Sama sekali tak setuju," kata Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Bagaimanapun menjelang tengah malam Ong memberitahu, dia menyokong ketetapan dibuat partinya.

"Terima kasih atas semua pandangan dan komen anda. Saya menghargai semuanya.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan sudah mengeluarkan kenyataan menolak tawaran rundingan dibuat oleh Muhyiddin dan saya menyokong keputusan parti saya. Selamat malam semua!" ciapnya.

Terdahulu Muhyiddin - yang kini berdepan tekanan kuat dari pelbagai pihak ekoran keraguan terhadap dukungan yang diterimanya di parlimen - menggariskan beberapa tawaran kepada semua parti politik.

Berucap dalam siaran langsung di TV lewat petang tadi Muhyiddin antara lain menjanjikan pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal saja.

Tunggu apa lagi

Dia juga menawarkan cadangan agar ketua pembangkang mendapat imbuhan setara dengan menteri kanan, serta menggubal undang-undang antilompat parti.

Untuk rekod semasa sidang khas parlimen pada bulan lalu, Ong mencadangkan semua parti melakukan moratorium politik dan menggesa pembangkang bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani wabak Covid-19.

Awal bulan ini pula Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, membangkitkan kemungkinan Umno dan "kleptokrat" kembali berkuasa jika PN dijatuhkan sekarang. 

Sementara itu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju, memuji cadangan pembaharuan dibawa Muhyiddin.

Bekas ahli parlimen PKR yang berpaling tadah itu berkata, apa yang dikemukakan Muhyiddin bukanlah sekadar retorik justeru parti pembangkang tidak wajar menolaknya demi masa depan negara.

Kata ahli parlimen Saratok yang kini menganggotai Bersatu itu kesan pembaharuan itu - jika dilaksanakan - bukan saja akan mengubah landskap politik negara pada hari ini malah untuk beberapa generasi akan datang.

"Pembaharuan iniah yang kita perjuangkan, terutama saya semasa bersama PKR. Dengan sokongan semua pihak, kita akan melihat perjuangan politik kita membuahkan hasil.

“Cukuplah dengan kleptokrat. Rakyat kini bertumpu pada kita untuk mengangkat negara ini dari kebuntuan yang mendatangkan malapetaka.

"Mari kita bekerjasama dalam perubahan nyata untuk sekali dan mengetepikan perbezaan kita. Tawaran telah dibuat, dan masanya telah tiba. Tunggu apa lagi? " katanya dalam kenyataan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS