PM: Kes Covid-19 gejala serius berkurang di negeri dengan kadar 40% vaksinasi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memklumkan terdapat pengurangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 di negeri-negeri di mana kadar vaksinasi sudah mencapai 40 peratus populasi dewasa.
Muhyiddin berkata ia merupakan perkembangan awal positif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) di beberapa kawasan termasuk Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Data yang dikumpul Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi populasi dewasa melebihi 40 peratus.
"Pada masa yang sama, data daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) bagi
hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.
"Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, Labuan yang mencapai 88.1 peratus penerimaan vaksin juga tidak merekodkan kes baru buat pertama kali, semalam.
Katanya lagi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos berbanding 909 orang pada 31 Julai lalu.
"Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes Covid-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa," kata Muhyiddin lagi.
Anggota Parlimen Pagoh itu turut menyeru agar masyarakat mendaftar untuk vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.
Muhyiddin berkata, majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi.
"Seperti saya nyatakan sebelum ini, kerajaan menerusi sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan-kemudahan lain dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan, dan serta kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri," katanya lagi.
Katanya lagi, strategi kerajaan adalah jelas iaitu lebih ramai yang sudah divaksinasi, beban sistem kesihatan akan berkurang dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial akan dapat dibuka.

