Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi pendakwaan nafi berunding untuk tarik balik saman 1MDB ke atasnya

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman menafikan tuduhan bahawa dia mencapai perjanjian dengan pihak pendakwaan untuk menarik balik tindakan sivil tabung itu ke atasnya.

Saksi ke-10 pendakwaan itu membuat penafian berkenaan setelah tuduhan itu diutarakan pasukan pembelaan Najib Razak semasa perbicaraan rasuah 1MDB RM2.28 bilion membabitkan bekas perdana menteri itu hari ini.

Ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah hari ini menyoal balas Hazem tentang sama ada dia ada membuat rundingan yang didakwa itu, sebagai balasan untuk dia terus memberikan keterangan ke atas Najib dalam perbicaraan jenayaah berkenaan, atau tidak.

Pada Mei, 1MDB dan pelbagai anak syarikatnya memfailkan 22 tindakan sivil ke atas Hazem, Najib dan beberapa individu dan entiti lain.

1MDB dan anak-anak syarikatnya mendakwa individu dan entiti tersebut terlibat dalam menipu mereka, sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Semalam, portal berita dalam talian The Edge Markets melaporkan bahawa untuk salah satu tuntutan AS$8 bilion, 1MDB telah menggugurkan tindakan sivil ke atas Hazem dan enam defendan yang lain.

Enam defendan lain itu ialah: bekas pengarah 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi; dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir.

Bagaimanapun, Najib; empat yang dikatakan rakan kongsi kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB Low Taek Jho atau Jho Low; bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad; bekas pengarah pelaburan Kelvin Tan Kay Jin, dan bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil, masih kekal sebagai defendan untuk tindakan sivil itu.

SRC sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB, sebelum menjadi milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi ahli lembaga penasihat 1MDB.

Shahrol sebelum ini memberikan keterangan untuk pihak pendakwaan dalam perbicaraan jenayah 1MDB ke atas Najib.

Semasa pendengaran perbicaraan jenayah ke atas Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Shafee pada mulanya bertanya Hazem sama ada dia ada diberikan sesalinan tindakan sivil 1MDB. Hazem menjawab dia tidak pernah diberikan sebarang salinan sedemikian secara rasmi.

Shafee kemudian mengasak berkenaan tindakan sivil tersebut dalam pemeriksaan balasnya. Hazem menjawab dia hanya sedar mengenai tindakan sivil itu menerusi artikel berita.

Saksi itu turut memberikan keterangan bahawa dia tidak tahu mengapa namanya dikeluarkan daripada tindakan sivil berkenaan.

Shafee: Saya cadangkan bahawa kamu sangat bimbang (dengan tindakan sivil itu), dan kamu mendekati pihak pendakwaan dan berkata ‘Ini tak boleh berterusan begini’ (berhubung tindakan tindakan sivil itu) memandangkan kamu sedang memberikan keterangan untuk pihak pendakwaan (dalam perbicaraan jenayah 1MDB Najib) tetapi kamu disaman dalam litigasi sivil.

Hazem: Saya tak setuju.

Shafee: Kamu diberi jaminan bahawa nama kamu akan dibuang (daripada tindakan sivil 1MDB).

Hazem: Saya tak setuju.

Shafee: Kamu ada bercakap dengan Shahrol tentang ini?

Hazem: Tidak ada.

Bekas CEO 1MDB itu turut memberikan keterangan bahawa dia tidak pernah dikenakan penyiasatan jenayah atau didakwa di mahkamah untuk kesalahan jenayah berkaitan 1MDB.

Perbicaraan rasuah 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib dibicarakan untuk empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Lihat Komen
ADS