Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin jadi menteri mentor? Jangan jadi k'jaan proksi, kata Puad
Diterbitkan:  Aug 18, 2021 2:53 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menolak cadangan pewujudan jawatan menteri mentor seperti yang dispekulasikan.

Jawatan itu dikatakan akan diwujudkan untuk mencapai jalan tengah antara calon perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Bersatu bagi mengukuhkan sokongan.

Kata Puad, kerajaan baru nanti harus mengelakkan diri daripada menjadi Perikatan Nasional (PN) 2.0.

“Jangan jadikan kerajaan baru ini kerajaan proksi. Ada tangan-tangan ghaib di belakangnya. Tak payahlah cadangan menteri mentor itu.

“Kita tidak mahu imej kerajaan PN 2.0. Betul-betul baru dan perpaduan,” katanya di Facebook.

Sumber Bersatu membayangkan kepada Malaysiakini bahawa terdapat cadangan menjadikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai menteri mentor.

Ismail sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri ketika Muhyiddin masih berkuasa.

Presiden Bersatu itu meletakkan jawatan selepas ahli-ahli Umno kem Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Puad dilihat sebagai penyokong Zahid. Bagaimanapun, dia bukan ahli parlimen.

Semalam, MKT Umno dan ahli-ahli parlimennya, termasuk yang menyokong Zahid, sebulat suara menyokong Ismail sebagai calon perdana menteri Malaysia yang seterusnya. 

Lihat Komen
ADS