Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob secara rasminya telah dilantik menjadi perdana menteri Malaysia yang kesembilan.

Ia merupakan kebangkitan yang pantas buat Ismail. Kerjaya politiknya mendapat manfaat besar sepanjang tiga tahun ini.

Ismail pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) 17 tahun lepas pada 2004, dan sehingga 2018, dianggap sebagai pemimpin kelas pertengahan.

Sebelum tahun itu, dia tidak berdepan apa-apa halangan atau cabaran politik yang besar berbanding pesaing-pesaing lain yang mengejar jawatan perdana menteri.

Semua itu berubah apabila BN tewas pada PRU-14.

Tahun itu, dia hanya memperoleh 43.89 peratus undi di Bera, tetapi berjaya mempertahankan kerusinya akibat undi pembangkang yang berpecah.

Keputusan itu memberi tamparan hebat buat Umno.

Parti itu sudah pun kehilangan dua daripada pemimpin tertingginya, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal - masing-masing merupakan timbalan presiden Umno dan naib presiden Umno pada 2016.

Kemudian, selepas PRU-14, Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden parti sementara Hishammuddin Hussein pula enggan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Tinggallah Ahmad Zahid Hamidi dalam kalangan lima jawatan tertinggi di dalam hierarki parti.

Dalam kelompongan itu, nama Ismail memekar sehingga berjaya memperoleh undian terbanyak untuk pemilihan tiga jawatan naib presiden Umno pada 2018.

Itu menjadikannya ahli parlimen Umno nombor dua paling senior di belakang Zahid, memandangkan timbalan presiden Mohamad Hasan bukanlah ahli parlimen.

Apabila Zahid terpaksa bercuti pada akhir 2018, ahli parlimen Bera itu diangkat menjadi ketua pembangkang. (Ini juga menjadikannya satu-satunya ketua pembangkang yang berjaya menjadi perdana menteri).

Kedudukan ahli parlimen nombor dua di dalam Umno itu juga membuka peluang untuk dia diberikan jawatan menteri kanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), seterusnya timbalan perdana menteri - memandangkan Zahid dibelenggu perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah.

Hari ini, Ismail menjadi perdana menteri.

Sementara perkembangan kerjaya politik Ismail tidak berdepan cabaran yang besar, dia juga tidak terlepas daripada kontroversi.

Antara yang terbaru adalah peranannya sebagai sebahagian daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), untuk tidak mengenakan kuarantin terhadap mereka yang pulang daripada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, September tahun lepas.

Langkah itu dikatakan menjadi antara punca lonjakan semula kes Covid-19 di semenanjung - kesannya masih dapat dirasakan sehingga ke hari ini.

Ismail turut terpalit kontroversi berhubung beberapa pendiriannya yang didakwa bersifat perkauman.

Pada 2015, sebagai menteri pertanian, dia menggesa orang Melayu untuk memboikot peniaga Cina bagi memaksa mereka menurunkan harga barangan.

“Majoriti pengguna ialah Melayu. Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga.

“[...] Selagi Melayu tidak berubah, selagi itulah Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu,” tulisnya.

Dia memperjelas kenyataannya itu dengan mendakwa gesaan boikot itu ditujukan hanya buat kumpulan peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan.

Kenyataannya itu mengundang kemarahan ramai, baik daripada kawan mahupun lawan, termasuk ketua penerangan Bersatu kini Wan Saiful Wan Jan - yang pada ketika itu berkata “reaksi mana-mana orang Melayu atau Cina yang beriman yang berpegang kepada perpaduan Malaysia akan menjadi jijik”.

Tahun sama kemudiannya, ketika dia mengambil alih portfolio kemajuan luar bandar dan wilayah, Ismail mencadangkan ”Low Yat 2”, hanya untuk peniaga Melayu.

Ini selepas kejadian kecurian telefon di pasar raya digital Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, yang bertukar menjadi rusuhan kaum.

Ismail menafikan yang pasar raya cadangannya itu - yang kemudian dinamakan sebagai Mara Digital - bersifat perkauman. Katanya, ia hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada peniaga Melayu dan bumiputera.

Meskipun berjaya direalisasikan, dua Mara Digital di Kuantan dan Johor Bahru tutup pada 2018 dan 2019 kerana jualan yang rendah.

Pasar raya Digital Mall di Kuala Lumpur turut bergelut dengan jualan rendah, meskipun sebelum wabak Covid-19 melanda tahun lalu - tetapi masih lagi beroperasi sehingga kini.

Sementara itu, sebagai ahli parlimen pembangkang, Ismail merupakan antara yang aktif berkempen menentang rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dalam satu ucapan sebelum perhimpunan anti-Icerd pada Disember 2018, Ismail meluahkan rasa kesalnya terhadap PH yang cuba membawa lebih ramai pelajar India ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) - yang katanya untuk orang Melayu.

Mara mempunyai kuota 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera sejak 2002.

Dalam video sama, Ismail turut meluahkan rasa kesal akan keistimewaan orang Melayu yang semakin terhakis. Rakaman video itu kembali timbul dan tular apabila berita melaporkan bahawa dia bakal menjadi perdana menteri.

Pada 2015, Ismail turut dikritik aktivis pemuliharaan (conservationist) selepas gambar makan malamnya di Sabah yang turut menghidangkan telur penyu, tular.

Pemimpin Umno itu menafikan memakan telur tersebut kerana katanya dia menghidap tahap kolesterol yang tinggi. Dia kemudiannya memfailkan tindakan undang-undang ke atas akhbar Sabah, Daily Express berhubung perkara itu.

Lihat Komen
ADS