Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob hari ini sah dilantik sebagai perdana menteri baru bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya Isnin lalu.

Ismail Sabri mendapat sokongan 114 ahli parlimen dari 220 ahli parlimen (tidak termasuk dua kerusi kosong). Ia merupakan majoriti tipis, namun pelantikan Ismail tetap disambut baik oleh kepemimpin BN dan Perikatan Nasional (PN).

Rata-rata menyifatkan pelantikan perdana menteri baru itu penting bagi mengembalikan kestabilan negara.

Berikut adalah antara reaksi pemimpin PN berhubung pelantikan Ismail itu.

Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno, ahli Parlimen Bagan Datoh):
"Allhamdulillah apa yang harus dilakukan telah pun dilakukan. Kita berharap rakyat segera terselamat daripada ancaman pandemik dan negara dapat dipulihkan segera Insya-Allah. Dan itu sahaja niat serta hasrat tiada yang selainnya apatah lagi rakus merebut kuasa.

"Sebagai Presiden Umno, kini keutamaan saya adalah masa depan parti keramat agama, bangsa dan negara. Saya tahu wujud kerisauan dalam kalangan ahli Umno terhadap perkembangan politik semasa.

"Bagaimanapun yakinlah Umno tetap Umno. Kepada seluruh ahli Umno, ini jaminan saya. Presiden Umno tidak akan sesekali membelakangi aspirasi parti dan akar umbi, akan tetap bersama mempertahankan jati diri Umno parti milik rakyat.

"Sama seperti yang saya lakukan sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas detik hitam 9 Mei 2018. Tumpuan kita kini untuk mempersiapkan dan memperkasakan Umno berdepan pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15)."

Hishammuddin Hussein (Bendahari Agung BN, ahli Parlimen Sembrong)
"Saya telah sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan. Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis Covid19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

"Insya-Allah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta.

"Selamat menjalankan amanah Datuk Seri. Semoga Allah SWT merahmati ketentuan ini."

Ahmad Maslan (Setiausaha Agung BN dan Umno, ahli Parlimen Pontian)

"Semoga Datuk Seri Ismail Sabri menjadi perdana menteri yang berjaya. Maka dengan pantas pastikan perang Covid19 kita menangi, perbaiki ekonomi rakyat, stabilkan politik, harmonikan masyarakat, pulihkan negara keseluruhannya.

"Moga Allah sentiasa membantu beliau dan kabinetnya".

Redzuan Md Yusof (Ahli Majlis Tertinggi Bersatu)
"Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri Malaysia kesembilan.

"Semoga dengan pelantikan ini, kerajaan akan terus memberi fokus dan keutamaan sepenuhnya dalam membantu rakyat menangani pandemik Covid-19, memulihkan keadaan ekonomi negara serta menyemarakkan keharmonian rakyat Malaysia bersama. Saya berharap setiap dasar yang baik untuk rakyat akan diteruskan."

Abdul Hadi Awang (Presiden PAS, ahli Parlimen Marang)
"PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.

"PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang diPertuan Agong ini, bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara".