Perlukan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Mat Deros meletakkan jawatan sebagai ahli majlis Majlis Perbandan Klang (MPK) sebagaimana dikehendaki oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo?

Tidak perlu! Demikian menurut ADUN Sungai Pinang, Teng Chang Khim (foto-kanan bawah) kerana tempoh perkhidmatan Zakaria sebagai ahli majlis MPK telah tamat pada hujung September lalu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, walaupun Zakaria telah diberi surat perlantikan semula sebelum ini, tetapi beliau bersama ahli-ahli majlis MPK yang lain belum mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh yang baru.

"Dari sudut undang-undang, Zakaria (foto bawah) bukan lagi ahli majlis MPK, oleh itu tidak perlu bagi beliau meletak jawatan," kata Teng yang juga seorang peguam dalam kenyataannya hari ini.

Majlis mengangkat sumpah ahli majlis MPK itu sepatutnya dijalankan dua minggu lalu tetapi ditangguhkan ekoran kontroversi berhubung banglo mewah 17 bilik yang dibina oleh Zakaria dan perlantikan anak serta menantunya sebagai ahli majlis berkenaan.

Ekoran kontroversi tersebut, Sultan Selangor telah menasihatkan Zakaria meletakkan jawatan sebagai ahli majlis MPK manakala Dr Mohd Khir memberi tempoh hingga 8 November ini bagi Zakaria melaksanakan nasihat Sultan tersebut.

Teng berkata, tempoh akhir yang diberikan oleh Dr Khir sudah tidak timbul lagi kerana surat perlantikan semula Zakaria boleh ditark balik pada bila-bila masa.

Wakil DAP itu juga percaya Dr Khir mengeluarkan arahan itu sebagai langkah menjaga air mukanya setelah rakyat marah terhadap ketidakkeberkesanan MPK bertindak terhadap dua bangunan milik Zakaria yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Selain banglo mewah di kampung Idaman, Pandamaran itu, sebuah lagi bangunan milik Zakaria ialah DZ Satay House telah disita oleh MPK pada Khamis lalu.

Restoran satay itu dikatakan tidak mempunyai lesen perniagaan dan didirikan di atas tanah kerajaan tanpa lesen pendudukan sementara (TOL)

Menurut Teng lagi, isu yang sedang melanda Zakaria ini bukan saahaja menunjukkan kedegilan dan keangkuhan beliau di Klang sahaja malah membuktikan kelemahan Dr Mohd Khir dalam memerintah negeri itu. Berita asal