'K'jaan perlu jelaskan doktor am ditamatkan dari PICK'
Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan sebab khidmat pengamal perubatan am swasta (GP) bagi program pemberian vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) ditamatkan.
Presiden FPMPAM, Dr Steven Chow mempersoalkan langkah tersebut bagi kepentingan orang ramai sedangkan hasrat kerajaan adalah untuk menggunakan khidmat doktor am dalam program pemberian vaksin.
"Selain itu, pesakit yang memilih untuk menerima vaksin berbayar dengan doktor mereka tidak akan dibenarkan mengemas kini status vaksinasi mereka melalui kemas kini biasa di MySejahtera.
"Sebaliknya mereka harus mengakses sistem secara tidak langsung melalui platform berasingan yang ditubuhkan oleh pembekal farmasi,"kata Chow dalam satu kenyataan.
"Perlu diingatkan bahawa MySejahtera didirikan dengan wang rakyat untuk tujuan kesihatan awam dan semua pembayar cukai harus memiliki hak untuk menggunakannya dengan sewajarnya," tambahnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy meminta KKM terus bekerjasama dengan doktor bagi program vaksinasi Lembah Klang.
Semalam, laman web berita kesihatan CodeBlue melaporkan CITF memutuskan untuk tidak lagi melibatkan pengamal perubatan awam, hospital swasta, pusat rawatan ambulatori dan PPV swasta dalam Pick.
Subramaniam mengesahkan bahawa ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan KKM baru-baru ini memberitahu pengamal perubatan am mengenai keputusan mendadak itu.
Dia menyifatkan langkah tersebut sebagai salah.
"CITF perlu dipertingkatkan dan tidak mengehadkan penglibatan doktor am swasta dalam fasa PICK ini.
"Kami bingung mengapa CITF baru-baru ini memutuskan untuk menghentikan janji temu vaksinasi di 741 klinik doktor swasta, beberapa hospital swasta dan pusat rawatan ambulatori di Selangor. Fasiliti kesihatan ini hanya diberi notis 48 jam oleh CITF [...]
"Dasar seperti 'guna bila perlu dan buang ketika tidak diperlukan' tidak bagus dan tidak akan mendorong doktor swasta lain untuk turut serta," katanya dalam satu kenyataan.

