Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanipa: Tahniah, tapi Ismail perlu segera buktikan majoriti di parlimen
Diterbitkan:  Aug 22, 2021 10:01 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob kerana mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia tetapi mengingatkannya agar segera membuktikan bahawa dia mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

" Saya tidak ada sedikit masalah pun untuk mengucapkan tahniah kepada YB Bera di atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri ke-9 atas roh 'sportmanship'.

"Meskipun saya agak kritikal sebelum pelantikan itu atas dasar saya meragui sokongan yang beliau perolehi khususnya dari Bersatu itu adalah sah kerana kenyataan media Presiden Bersatu yang jelas hanya memberikan sokongan bersyarat dan tidak muktamad dan ia melanggar arahan jelas Yang Dipertuan Agong, namun saya masih boleh menerimanya buat masa ini," kata Hanipa dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kata pemimpin Amanah itu, usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti yang diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong mesti dibawa oleh kerajaan dan ia perlu dipercepat.

"Jika ada suara-suara 'nakal' yang cuba berhujah kononnya kini tidak wajib dibuat usul undi percaya di Dewan Rakyat, pada hemat saya, kenyataan sebegitu amat tidak wajar, mengelirukan dan boleh dengan sewajarnya ditafsirkan seperti tidak menghormati titah Agong tersebut sedangkan Agong secara jelas mengkehendaki pelantikan itu diabsahkan melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat.

"Justeru itu,bagi saya usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti mana titah Agong, adalah wajib dan mesti dibawa oleh pihak kerajaan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen ini dan ia perlu menjadi agenda yang perlu disegerakan," katanya.

Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada pukul 2.30 petang, semalam.

Upacara itu disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen nasional dan halaman Facebook Jabatan Perdana Menteri.

Ismail Sabri adalah perdana menteri pertama yang bukan ketua atau timbalan ketua parti politik.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghadapi tuduhan rasuah sementara timbalannya Mohamad Hasan bukan ahli parlimen.

Ahli Parlimen Bera itu mengambil alih jawatan perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin, yang merupakan presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional.

Muhyiddin digulingkan setelah 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan kepada kerajaan gabungannya yang terdiri daripada PN (Bersatu, PAS, STAR, SAPP, Gerakan), BN (Umno, MCA, MIC, PBRS), GPS (PBB, PRS, PDP SUPP), PBS dan Ahli Parlimen bebas.

Lihat Komen
ADS