Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SUPP cadang wujudkan jawatan TPM II untuk ahli parlimen GPS
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 9:08 AM
Dikemaskini: 1:08 AM

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meminta pentadbiran persekutuan baru untuk mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri kedua (TPM II) untuk diisi oleh seorang ahli parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), menurut laporan Borneo Post.

"SUPP berpendapat bahawa satu lagi jawatan TPM II harus dibuat dan jawatan TPM ini akan dikhaskan untuk Sarawak dan Sabah, kerana Sarawak dan Sabah memang merupakan dua rakan kongsi yang setara di Malaysia.

"Sarawak dan Sabah telah banyak menyumbang untuk pembangunan negara selama ini, sejak tahun 1963," kata Setiausaha Agung SUPP Sebastian Ting dalam satu kenyataan semalam.

Ting berkata janji seperti itu akan menjadi pengakuan terbuka, ikhlas dan tulus mengenai sumbangan besar dari Sarawak dan Sabah, dan menambah bahawa adalah wajar untuk jawatan itu diisi oleh GPS, yang mempunyai 18 ahli arlimen.

"Kami ingin mengusulkan Fadillah Yusof yang merupakan menteri kanan dan menteri kerja raya di bawah pentadbiran mantan perdana menteri Muhyiddin Yassin, dan Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi, yang sebelum ini merupakan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, untuk jawatan TPM II.

"Kedua-duanya adalah anggota parlimen yang berpengalaman dan telah bertugas sebagai menteri dan timbalan menteri selama bertahun-tahun," katanya.

Ting juga mengusulkan untuk kabinet yang lebih inklusif, dengan etnik lain dari Malaysia Timur diwakili, antara lain kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Kadazan-Dusun dan Bajau.

"Lebih penting lagi dalam pemikiran semua rakyat Malaysia, harapan mereka adalah bahawa kerajaan baru harus menjadi kerajaan yang bersih, menghormati kebebasan badan kehakiman, mengamalkan pemisahan kuasa dan terus memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," kata Ting.

Dia juga mengucapkan tahniah, bagi pihak SUPP, kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai perdana menteri kesembilan.

Lihat Komen
ADS