Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sidang Parlimen berlangsung seperti ditetapkan - Rashid
Diterbitkan:  Aug 23, 2021 1:46 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September ini akan berlangsung mengikut jadual ditetapkan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah perdana menteri yang baru dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

"Setakat ini tiada notis perubahan dan tiada notis baharu dikeluarkan. 

"Jika ada perubahan dari Ketua Majlis, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan mengeluarkan pemakluman," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon yang dipetik Berita Harian Online hari ini.

Seri Paduka Baginda pada 18 Ogos laluturut bertitah bahawa perdana menteri yang telah dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dua hari kemudian, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakub dilantik sebagai perdana menteri baru menggantikan Muhyiddin Yassin setelah dikatakan mendapat sokongan daripada 114 ahli parlimen.

Dia mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, kelmarin.

Al-Sultan Abdullah dilaporkan memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Takwim dan Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, memaparkan bahawa Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan berlangsung bermula 6 hingga 30 September ini.

Lihat Komen
ADS