Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ku Li gesa segerakan undi percaya PM di parlimen

Pemimpin Veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dibuat segera bagi mengabsahkan majoriti sokongan diperolehi pengganti Muhyiddin Yassin itu.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berpendapat ia bagi membolehkan perdana menteri kesembilan itu mentadbir negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

"Untuk memastikan keabsahan dan perdana menteri dapat 'move on' tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak lagi selepas itu.

"Sebagaimana yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam surat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara sebelum perlantikan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Razaleigh berkata demikian sebagai mengulas tulisan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shamrahayu Ab Aziz yang berpendapat undi percaya bukan untuk memberikan pengesahan kepada perkenan Agong.

Shamrahayu berpandangan tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya dan ia amalan atau adat Perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

Menurut pakar perkembagaan itu, pelantikan perdana menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, seterusnya berlaku upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

Kata Shamrahayu lagi sekiranya Tuanku bertitah untuk diadakan undi percaya, itu bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang perdana menteri, atau sesebuah kerjaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara pada 18 Ogos dalam satu kenyataan menjelaskan Agong bertitah secara khusus bahawa selepas dilantik, perdana menteri yang baru hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk membuktikan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Agong dan timbalannya menzahirkan pandangan bahawa semua ahli parlimen harus bersatu hati dalam menjernihkan kekusutan yang telah berlaku.

Mengulas lanjut Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li menyanggah pandangan Shamrahayu berhubung perkara itu.

“Susah hendak terima pandangan ini oleh sebab angkat sumpah jawatan perdana menteri, walaupun merupakan perkenan Agong untuk satu ketika.

“Sekiranya pengundian berlaku, percaya atau tidak percaya dua atau tiga minggu selepas angkat sumpah dalam keadaan di mana sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali perdana menteri dan kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS