Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Benarkan pesakit mental yang bergelandangan  tidak dijangkiti Covid-19?

Menjawab soalan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, golongan tersebut mempunyai rintangan apabila tubuh mereka sering terdedah kepada kuman.

"Yang itu merujuk kepada kes psychotic problem, yang duduk bergaul dengan sampah, kotor.

"Pertama sekali rintangan bila diri kita terdedah kepada kuman, virus semua sekali, tubuh kita akan bina kekebalan terhadap perkara itu.

"Apabila dia sering bertemu (terdedah) dengan keadaan itu. (Misalnya) Kalau kita makan sesuatu yang tercemar akan 'cerah perut', tetapi mereka tidak (sakit)," katanya.

Dia menjawab soalan tambahan Mohd Alwi Che Ahmad (Umno - Kok Lanas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Mohd Alwi bertanya bagaimana orang gila tersebut tidak dijangkiti Covid-19 sedangkan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Soalan tambahan itu dikemukakan selepas Dr Izani (PAS - Kijang) menjawab soalan mengenai tahap kesihatan mental rakyat Kelantan sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

Sementara itu Dr Izani berkata, golongan pesakit mental terbiar itu mungkin mempunyai rintangan dan antibodi yang lebih.

"Kita boleh jadi rintangan kepada tiga perkara, mereka rintangan kepada 50 perkara dah.

“Sebab sentiasa dalam keadaan kotor akhirnya Allah bagi kepada tubuh cipta antibodi untuk lawan benda itu (kuman)," katanya.

Tiada bunuh diri di Kelantan

Dalam perkembangan itu kerajaan Kelantan memaklumkan tiada kes bunuh diri direkodkan sepanjang pandemik Covid-19 di negeri itu.

Dr Izani Husin berkata, tahap kesihatan mental penduduk di Kelantan dalam keadaan yang baik.

Katanya, pengurusan kesihatan mental pesakit Covid-19 dan kontak rapat mereka serta petugas semasa pandemik ini diselaraskan melalui Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental Dan Psikososial (MHPSS) Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

"Tiada kes bunuh diri yang direkodkan di Kelantan.

"Sepanjang pandemik Covid-19 yang bermula Mac tahun lalu sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 44,003 tele-psikososial yang dilakukan kepada pesakit Covid-19 dan kontak pesakit Covid-19.

"Daripada jumlah itu, hanya 30 orang atau 0.07 peratus sahaja yang memerlukan rujukan kepada pakar psikitri dan tiada kes bunuh diri dilaporkan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS