Sebanyak 169 jumlah kerja tanah haram telah dikompaun daripada 215 kes yang dikesan berdasarkan semakan semua pihak berkuasa tempatan di Selangor, sejak tahun lalu hingga Jun lepas.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, kerja tanah haram yang tertinggi dikesan ialah 52 kes bawah kelolaan Majlis Perbandaran Klang (MPK), 40 kes bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan 36 kes bawah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“Bagi MPK daripada 52 kes kerja tanah haram yang telah dikenal pasti, 23 adalah jumlah kerja tanah haram yang telah dikompaun. Bagi MPKJ 40 kes yang dikesan, 40 kes telah dikompaun. Untuk MDHS 36 kes kita kesan, 36 kes juga telah kita kompaun,” katanya ketika menjawab soalan Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) pada persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Edry Faizal ingin mengetahui berhubung jumlah kerja tanah haram yang dikesan dan dikompaun dari 2020 hingga Jun lepas.

Amirudin berkata sehingga tempoh tersebut, tiada kes kerja tanah haram yang telah didakwa.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan negeri melalui jawatankuasanya telah membangunkan sebuah inisiatif holistik iaitu Selangor Mental Sihat (SEHAT) dengan peruntukan berjumlah RM500,000.

Katanya SEHAT adalah sebuah program kesihatan mental yang holistik dan mampan mencakupi aspek promosi, kesedaran, saringan awal, program intervensi, pembangunan modul dan latihan kaunselor melalui kerjasama pasukan penyelidik antaranya dari Universiti Islam Antarabangsa; Universiti Sains Malaysia dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Kerajaan negeri akan melancarkan perkhidmatan dalam talian SEHAT dengan mengintegrasikan modul dan fungsinya ke dalam aplikasi SELangkah dan ia bakal dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 30 Ogos ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr Siti Mariah memaklumkan terdapat 17 kes dalam kalangan penjawat awam di negeri itu telah dirujuk kerana masalah kesihatan mental sehingga Julai lalu yang dilaksanakan oleh cawangan Pengurusan Kaunseling, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Dr Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) yang ingin mengetahui mengenai jumlah penjawat awam di Selangor yang dirujuk untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan mental dan kemudahan yang tersedia diberikan oleh kerajaan negeri untuk mereka yang menghadapi masalah tersebut.

- Bernama