Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Umno untuk batal saman SRC didengar 10 Nov
Diterbitkan:  Aug 26, 2021 8:25 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 10 Nov untuk mendengar permohonan Umno bagi membatalkan saman yang difailkan SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu atas dakwaan menerima wang berjumlah RM16 juta yang diseleweng daripada syarikat itu.

Pada Mei lepas, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama dengan beberapa anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.

Seorang peguam daripada Rosli Dahlan Saravana Partnership, yang mewakili ketiga-tiga plaintif, berkata mahkamah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon.

“Permohonan itu akan didengar pada 9 pagi menerusi Zoom,” katanya ketika dihubungi.

SRC International, Gandingan Mentari, dan Jendela Pinggiran menyaman parti itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada Umno.

Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana tersebut.

Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 billion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei lepas iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Saman itu difailkan 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku.

- Bernama

Lihat Komen
ADS