Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas 6 penggal, Nazri tak akan bertanding PRU depan

Bekas menteri, Nazri Aziz tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan akan mengundurkan diri daripada politik setelah enam penggal menjadi wakil rakyat sejak terpilih pada tahun 1995.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri berkata ada ramai pemimpin lebih muda seperti Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, 60, dan Menteri Kanan Hishammuddin Hussein, 60, justeru dia mahu menyerahkan tugas itu kepada generasi baru.

"Saya rasa ini adalah isyarat untuk orang-orang dari generasi saya bahawa sudah tiba masanya kami pergi dan sokong pemimpin baru," katanya.

Nazri, 67, pernah dilantik sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal undang-undang) dan menteri pembangunan usahawan.

Dia pertama kali terpilih sebagai ahli parlimen Cenderoh pada tahun 1995 dan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 1999, sebelum memenangi kerusi parlimen Padang Rengas dalam empat PRU berturut-turut.

Sebelum itu, dia dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada tahun 1990.

“Saya rasa, ketika kami (Barisan Nasional) kalah dalam PRU 2018, ada hikmahnya kerana selepas itu, kami tidak dapat jadi kerajaan dan tidak lagi memiliki kuasa membentuk Jemaah Menteri. Jadi, jauh lebih mudah (untuk berundur).

“Zaman kegemilangan (saya) akan berakhir, tapi tidak apa. Saya puas nikmati masa saya dalam politik. Saya berusia hampir 70 tahun sekarang, jadi berundur dengan cara baik sangat penting,” kata Nazri.

Nazri berkata, ada ramai ahli politik baru bersedia untuk menggantikan tempatnya, namun berkata hal itu akan ditentukan oleh parti.

Nazri tidak lekang dengan kontroversi termasuk baru-baru ini meminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Sebelum PRU 2018, dia mencabar jutawan Robert Kuok untuk kembali ke Malaysia dan bertanding dalam PRU.

"Jangan jadi 'pondan'. Jangan jadi ‘ayam betina’ yang bersembunyi di balik tembok di Hong Kong, ”katanya.

Pada tahun 2007, Nazri dilihat hilang sabar ketika sidang Dewan Rakyat apabila berulang kali menggelar veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai "bodoh".

Lihat Komen
ADS