Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Misai, janggut mak cik tumbuh lebih cepat dari orang lelaki'

Seorang wanita warga emas dibelenggu dengan kehidupan yang 'aneh' apabila mengalami pertumbuhan misai dan janggut seperti orang lelaki.

Malah pertumbuhan bulu di bahagian wajah Che Halimah Che Mood, 62, dikatakan lebih cepat berbanding orang lelaki.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, hidupnya bertambah sukar apabila diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu sekali gus terpaksa dibantu orang lain termasuk untuk mencukur misai dan janggut setiap tiga kali seminggu.

Menurutnya, pertumbuhan misai dan janggut di wajahnya itu berlaku sejak di usia belasan tahun iaitu selepas baligh sekali gus menyebabkan wajahnya kelihatan seperti lelaki.

"Sejak berpuluh-puluh tahun rutin mak cik seperti orang lelaki kerana perlu mencukur misai dan janggut. Rutin itu terpaksa dibuat selalu kerana ia tumbuh dengan cepat berbanding kebiasaan orang lelaki.

"Sebelum ini tak apa sebab boleh cukur sendiri, namun kini terpaksa dibantu ahli keluarga apabila kena stroke (angin ahmar) separuh badan sebelah kiri sejak lapan tahun lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya dan keluarga di Kampung Batu Karang, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Che Halimah pernah berkahwin sebanyak dua kali, namun semuanya berakhir dengan kegagalan dan tidak dikurniakan zuriat.

Kini dia menumpang kasih dengan seorang adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isteri, Nur Asmira Che Hussin, 36, yang sanggup menjaga segala makan dan minumnya serta ibu mereka, Kalsom Mamat, 93.

"Mujurlah ada Nur Asmira (adik ipar) yang menjaga keperluan diri mak cik termasuk mencukurkan misai dan janggut agar tidak kelihatan seperti orang lelaki," jelasnya.

Terdahulu Che Halimah sekeluarga dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang tampil menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan, serta lampin pakai buang.

Sebagai rekod, wanita itu juga bergantung hidup dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350.

"Kadang-kala datang rasa sedih dan terkilan juga kerana terpaksa menyusahkan adik sekeluarga, namun berterima kasih terutama kepada adik ipar (Nur Asmira ) yang tidak pernah menyisihkan mak cik dan emak.

"Dia jaga kami seperti darah dagingnya sendiri, mak cik hanya mampu berdoa agar Allah membalas segala kebaikannya. Sebolehnya tidak mahu menyusahkan orang lain, namun apakan daya kini hanya mampu terbaring.

"Ketika masih sihat dan muda, mak cik banyak merantau mencari rezeki termasuk beberapa tahun bekerja di Singapura sebagai tukang masak," katanya yang sebelum ini disahkan doktor memiliki hormon lelaki yang lebih banyak dalam dirinya.

Sementara itu bagi mereka yang sudi menghulurkan bantuan buat Che Halimah dan keluarganya boleh membuat sumbangan melalui nombor akaun 0301241000143628 (Bank Simpanan Nasional - BSN) Che Halimah Che Mood.

Lihat Komen
ADS