Antara Datuk Husam Musa, Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Ahmad Yakob, siapa bakal menggantikkan Datuk Seri Nik Aziz Nik mat sebagai Menteri Besar Kelantan anadinya PAS terus berkuasa di negeri itu selepas pilihanraya umum ke-12 nanti atau jika secara tiba-tiba "Tuan Guru" bersara awal?

Inilah yang dibicarakan oleh para pemerhati politik di negeri Cik siti Wang Kembang itu. Ketika pemimpin Umno sedang hebat mengatur strategi untuk menawan Kelantan, ketiga-tiga tokoh itu dikatakan berlumba-lumba menonjolkan diri untuk menggantikan Nik Aziz.

Usaha mereka dikatakan bermula sejak 2004 lagi apabila Nik Aziz yang sering uzur terpaksa menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Paling menonjol di kalangan mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Husam Musa (foto kanan) yang juga Naib Presiden PAS pusat dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan.

Husam dilihat umum sebagai calon favourite menggantikan Nik Aziz kerana sering menggantikan Menteri Besar dalam kuliah agama mingguan di pekarangan Pejabat PAS Kota Baharu selain menjadi pilihan untuk bercakap dengan media berhubung dasar-dasar kerajaan negeri.

Husam yang merupakan graduan lulusan ekonomi Universiti Malaya dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar sebaik PAS memerintah Kelantan pada 1990 sebelum dipilih bertanding mewakili PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri Kijang pada pilihan raya umum 1995.

Penonjolannya menjadi kian ketara sejak kebelakangan ini. Terbaru, beliau diamanahkan untuk mengumumkan kepada media tentang pelancaran dinar mas oleh Nik Aziz pada 20 Sept lepas, mengetepikan tokoh yang lebih kanan daripadanya iaitu Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun menurut laporan Bernama, kalangan pemimpin Umno di Kelantan tidak yakin Husam mempunyai peluang untuk menduduki kerusi itu seandainya PAS terus berkuasa di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Alwi Che Mat percaya tokoh pilihan Nik Aziz untuk menggantikannya bukan Husam tetapi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Ayam tambatan

Nik Mohd Amar (foto bawah) yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri dilihat sebagai ayam tambatan Nik Aziz berdasarkan latar belakang pendidikan agama dan tarafnya sebagai seorang ulama.

"Tambahan pula, Nik Aziz banyak terhutang budi kepada arwah bapa Nik Mohd Amar, Nik Abdullah Arsyad yang merupakan mentor dan rakan seperjuangannya dalam politik," kata Alwi.

Nik Abdullah merupakan orang yang paling kuat menyokong Nik Aziz yang ketika itu merupakan Pesuruhjaya PAS Kelantan apabila PAS berhadapan dengan ujian getir akibat tersingkir daripada Barisan Nasional pada 1977.

"Husam dilihat cekap dalam pentadbiran tetapi dengan pandangan jauh Nik Aziz dalam politik, beliau sudah pasti memilih Nik Amar sebagai penggantinya bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan ulama di Kelantan," katanya.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Dali Husin pula berpendapat sekiranya Nik Aziz memilih Husam sebagai penggantinya, beliau jelas tidak berpegang kepada perjuangan menegakkan kepimpinan ulama yang dilaung-laungkannya selama ini.

"Kepimpinan ulama dalam pentadbiran kerajaan negeri kini jelas terhakis sedikit demi sedikit dengan digantikan oleh golongan profesional muda yang berfahaman sekular," katanya.

Katanya seorang lagi anggota Exco Kerajaan negeri, Takiyuddin Hassan (foto kanan) yang sebelum ini dikatakan turut bersaing untuk menjadi pengganti Nik Aziz sudah pun terkeluar daripada senarai kerana selain faktor gaya hidupnya, beliau juga bukan anak jati Kelantan.

Nasib timbalan MB

Beberapa pemerhati politik bebas pula berkeyakinan Timbalan Menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad Yakob tidak berpeluang untuk menggantikan Nik Aziz kerana dalam sejarah politik di Kelantan, tidak pernah seorang Timbalan Menteri Besar dapat menduduki kerusi itu.

Bagi mereka Ahmad hanya sekadar spare part untuk mengisi jawatan itu selepas PAS menghadapi kebuntuan untuk memilih antara Husam dan Nik Mohd Amar sebagai Timbalan Menteri Besar.

Berdasarkan sejarah, empat Timbalan Menteri Besar pada zaman Umno menerajui pemerintahan negeri (1978-1990) tidak pernah berpeluang untuk menyandang jawatan Menteri Besar. Mereka ialah Tan Sri Hussein Ahmad, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher, Datuk Ariffin Said dan Datuk Wan Ismail Wan Yusof.

Dalam PAS pula, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Besar selama tiga penggal sejak 3 Nov 1990 juga tidak berpeluang untuk merasai kerusi Menteri Besar.

PAS mengetepikan Abdul Halim (foto kanan) secara perlahan-perlahan dalam perebutan kerusi itu apabila diletakkan untuk bertanding kerusi Parlimen Pengkalan Chepa pada pilihan raya umum 2004.

Sebelum itu, Abdul Halim mewakili PAS di Dewan Undangan Negeri kawasan Banggol selepas menang dalam pilihan raya umum pada 1986, 1990 dan 1999 dan di DUN Kijang pada 1995.

Beliau gagal dalam usaha merebut kerusi Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar Agung PAS di Kelantan pada 2005.

Selagi belum tiba masanya, tidak ada siapapun yang mampu menduga siapa di kalangan tokoh-tokoh PAS itu yang benar-benar bernasib baik untuk menggantikan Nik Aziz. Atau, mungkin juga ia sekadar angan-angan kosong sedangkan Umno terus memperhebatkan usaha untuk menawan Kelantan daripada PAS.