Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan terburu-buru buka sekolah, kata Zahid
Diterbitkan:  Sep 4, 2021 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa Kementerian Pendidikan supaya tidak terburu-buru mengambil keputusan dalam pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka.

Katanya, banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam serta memastikan tarikh baru pembukaan sesi persekolahan perlu tepat dan betul.

"(Keputusan)...sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini tanpa mengambil kira kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.

"Jangan sesekali mengambil risiko yang kita tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Elakkan kesilapan lama berulang.

"Terlalu banyak perkara perlu diperhalusi secara mendalam kerana rata-rata murid sekolah masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya dalam hantaran Facebook pagi ini.

Dia berkata demikian susulan kenyataan Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin semalam bahawa sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.

Tarikh itu selepas ia dilanjutkan daripada tarikh sebelum ini 1 Sept.

Bagaimanapun, Radzi menjelaskan bahawa sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata bahawa kerajaan perlu menjadikan perlindungan murid-murid sebagai keutamaan.

"Meskipun SOP akan lebih diperketat, tetapi sejauh mana ia benar-benar berkesan dalam melindungi murid, perlu jadi keutamaan.

"Perlu ingat pada 26 April 2021 Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19," katanya.

Dia juga berpendapat bahawa ibu bapa atau penjaga tidak sanggup meletakkan anak mereka pada risiko kesihatan.

"Jika SOP kurang meyakinkan mungkin ramai enggan menghantar anak ke sekolah. Akhirnya kembali mengundang isu pendidikan.

"Situasi yang sangat perlu dielakkan kerana mewujudkan suasana tidak kebersamaan yang akan memangsakan murid sekolah. "Justeru itu haruslah dipastikan keputusan dan langkah seterusnya untuk anak-anak kita bermula Oktober ini adalah tepat dan betul.

"Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jadikan pengalaman yang lepas sebagai pengukur dalam membuat keputusan yang terbaik," katanya.

Lihat Komen
ADS