Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib lapor polis terhadap LHDN, dakwa saman cukai bermotif politik
Diterbitkan:  Sep 9, 2021 10:03 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak membuat laporan polis terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan terhadapnya bermotifkan politik.

Dalam catatan Facebook malam tadi, Najib mendakwa berdasarkan maklumat kukuh, ada pegawai LHDN dan ahli politik yang telah menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan dokumen palsu untuk menganiaya dirinya.

"Ada yang datang menemui saya dan memohon maaf serta memberitahu saya bahawa kes cukai tambahan RM1.7 bilion ini sebenarnya telah disiasat 3 kali sejak 2018.

"Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.

"Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu," kata Najib.

Katanya, perkara itu membimbangkan kerana arahan itu datang dari ahli politik dan bukan bersandarkan kepada fakta siasatan.

Dia membuat laporan polis petang semalam bagi menggesa siasatan menyeluruh dilakukan.

Bekas perdana menteri itu juga mempelawa semua pihak terutamanya juruaudit cukai untuk memeriksa fail cukai pendapatan yang telahpun dikemukakannya kepada mahkamah.

"Saya juga akan menulis surat kepada pihak LHDN bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk dedahkan fail cukai pendapatan saya bagi tahun-tahun berkenaan kepada mana-mana pihak yang berminat supaya mereka boleh lihat sendiri keabsahaan denda cukai tambahan terhadap saya yang langsung tidak masuk akal dan melangkaui undang-undang," katanya.

Kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu, dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut, termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1MDB.

Malam tadi, Najib berkata dia dikenakan cukai pendapatan tambahan walaupun telah mengembalikan sebahagian besar RM2.6 bilion itu empat bulan setelah menerimanya.

Najib mendakwa wang berkenaan adalah sumbangan dari Raja Arab Saudi.

Perkara ini disangkal oleh penyiasat AS. "Derma" itu sebaliknya adalah sebahagian daripada fasa Tanore dari kes pengubahan wang haram 1MDB.

Dana berkenaan yang berjumlah AS $ 681 juta - telah disalurkan oleh rakan sekutu Najib, Jho Low dari 1MDB - dan kemudian diserahkan kepada bekas perdana menteri itu.

Najib kemudian mengembalikan AS$ 620 juta itu ke akaun yang dikendalikan oleh Low. Sebahagian daripada dana yang dikembalikan itu didakwa digunakan oleh Low untuk membeli kalung berlian merah jambu bernilai AS $ 27.3 juta untuk isteri Najib, Rosmah Mansor.

Lihat Komen
ADS