Dr M dakwa Pak Lah takut kerana salah
Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarganya takut membenarkan beliau bercakap kerana apa yang diperkatakannya mengandungi kebenaran.
Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarganya takut membenarkan beliau bercakap kerana apa yang diperkatakannya mengandungi kebenaran.
"Jika apa yang saya perkatakan tidak benar, tentu mudah untuk membuktikan apa yang saya kata adalah tidak benar," kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut disiarkan dalam lamanweb Kelab Maya Umno (KMU) dan Malaysia Today Jumaat lalu.
Berikutan itu, Dr Mahathir berkata sudah 14 jemputan kepadanya dibatalkan atas arahan kerajaan Abdullah melalui Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom.
Jumaat lalu, katanya, beliau diberitahu majlis anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada hari berkenaan di Baling telah dibatalkan.
"Polis memanggil penganjur dan mengarahkan supaya majlis dibatalkan. Perkida (Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah SeMalaysia) Johor juga diarahkan supaya membatalkan jemputan kepada saya pada 1 November 2006," tegasnya dalam kenyataan tersebut.
Pada masa yang, kata Dr Mahathir, semua media aliran perdana telah membuat laporan yang tidak berasas untuk memburuk-burukkannya.
Kebebasan bersuara
"Saya tidak boleh jawab, tidak boleh nafi walaupun laporan telah diputar. Inikah yang dikatakan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar zaman Pak Lah. Segala saluran untuk siapa mengkritik kerajaan ditutup.
"Jawapan Pak Lah dan konco-konconya tidak tertumpu kepada kritikan yang dibuat. Sebaliknya semua marah kerana saya membuat kritikan jangan kritik, kalau nak kritik keluar parti, semua mesti akur kepada Pak Lah, jika tidak buang jawatan.
"Apakah pernah perkara seperti ini berlaku di zaman Datuk Onn (Jaafar), Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak (Hussein), Tun Hussein Onn dan (zaman) saya sendiri?" soalnya.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata di zamannya, Tunku Abdul Rahman dan Hussein bebas mengkritiknya tanpa sebarang sekatan.
"Polis tidak mengganggu sesiapa yang ingin dengar kritik mereka. Tidak ada ugutan untuk bertindak terhadap Tunku dan Tun Hussein," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, apabila pemimpin tidak boleh ditegur, maka dia akan menyalahgunakan kuasa dan mengutamakan kepentingan diri, keluarga dan kroninya.
Takut kerana salah
"Kepentingan negara, kepentingan rakyat akan diabaikan. Akhirnya negara akan rosak dan rakyat akan menderita," katanya.
Sambil menegaskan bahawa berani kerana benar, takut kerana salah, Dr Mahathir berkata: "Takutnya Pak Lah jika rakyat dengar saya ialah kerana dia dan konco-konconya bersalah".
"Saya gunakan saluran ini (melalui internet) kerana tidak ada saluran lain bagi saya. Sama-samalah kita renung perkara ini," tambahnya.
Khamis lalu,
mesyuarat
Majlis Tertinggi (MT) Umno telah membincangkan cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Mahadzir Khalid supaya Dr Mahathir dilucutkan jawatannya sebagai penasihat agensi dan syarikat kerajaan Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) kerana terus mengkritik Abdullah.
Bagaimanapun, mesyuarat tersebut memutuskan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Dr Mahathir tetapi mengingatkan bekas Perdana Menteri terhadap had kritikannya.
Dr Mahathir mula mengkritik Abdullah selepas kerajaan membatalkan projek-projek utama yang dimulakan sewaktu pentadbirannya, termasuk pembatalan projek jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.

