Penduduk Kelantan dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar sekiranya hujan lebat secara berterusan melebihi tiga hari semasa musim tengkujuh ini.

"Sepanjang tahun ini, hujan yang dicatat ialah 75 peratus. Jadi, sekiranya 25 peratus lagi turun dalam jumlah yang banyak sekaligus dan berterusan, tidak mustahil banjir seperti 2004 dan tahun lalu berulang lagi," kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lim Chow Hock.

Berikutan itu, beliau menasihatkan penduduk negeri itu supaya peka dengan tanda awal banjir seperti hujan lebat berterusan dalam jangka masa tiga hari di seluruh negeri dan catatan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai mencecah tahap waspada 20 meter.

"Kita harap penduduk dapat bersiap sedia menghadapi banjir dari sekarang kerana musim tengkujuh iaitu dari November hingga Mac setiap tahun telah bermula dan angin monsun Timur Laut juga sudah bermula," katanya kepada Bernama di sini.

Menurut laporan Bernama, Lim berkata, jabatan itu akan bekerjasama dengan media untuk menghebahkan maklumat terkini berkenaan banjir kepada penduduk dengan cepat dan tepat.

Katanya, kakitangan lapan stesen bacaan curahan hujan dan tujuh stesen bacaan paras air juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Berjaga-jaga

Manakala bilik gerakan banjir akan dibuka sebaik sahaja paras air mencecah paras berjaga-jaga, katanya.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi seperti polis, pasukan bomba dan penyelamat negeri, JPA3 dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pengurusan banjir dilakukan secara tersusun," katanya.

JPS telah memulakan kerja pembersihan sungai dan parit sejak tiga bulan lepas bagi memastikan laluan air tidak tersekat sekiranya berlaku banjir.

Negeri-negeri Pantai Timur sering dilanda banjir setiap musim tengkujuh yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Pada Disember 2004, banjir besar yang terburuk sejak 21 tahun lalu, mengorbankan 10 nyawa manakala lebih 10,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan. Aktiviti di pusat bandar Kota Baharu menjadi lumpuh selama dua hari setelah keseluruhan bandar itu ditenggelami air lebih satu meter.