Pergerakan Pemuda Umno Malaysia tidak membatalkan forum 'Sejenak Bersama Pemimpin' yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 November depan.

Sebaliknya, program tersebut telah ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan, kata pembantu khas kepada Exco Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pemuda Umno, Hasnol Bakri.

Oleh itu, beliau menafikan bahawa forum anjuran biro tersebut telah dibatalkan kerana tekanan pihak tertentu.

"Jemputan (Dr Mahathir) sebagai panel bagi forum tersebut tidak dibatalkan dan program itu hanya ditangguhkan sementara kerana biro sibuk mengendalikan pertandingan dikir barat peringkat kebangsaan di Kota Bharu sejurus selepas perhimpunan agung Umno," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Katanya, semua ahli jawatankuasa biro tersebut terpaksa menumpukan perhatian kepada pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kerana ia membabitkan jumlah tenaga dan masa yang banyak.

Katanya, forum "Sejenak Bersama Pemimpin" tetap akan diadakan selepas pertandingan tersebut, tetapi masa dan tempatnya belum ditetapkan lagi.

"Penangguhan forum itu tiada kena mengena dengan perkembangan politik semasa atau tekanan pihak tertentu," ujarnya lagi.

Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pemuda Umno itu diketuai oleh Azizul Nizam Bidin. Beliau tidak dapat dihubungi kerana bermesyuarat.

Tekanan politik?

Jumaat lalu, Dr Mahathir mendakwa 14 program yang membabitkan dirinya telah dibatalkan atas arahan kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom.

Beliau mendakwa, pembatalan program tersebut sejak 28 Jun sehingga November adalah atas tekanan politik dan keengganan pihak polis memberi permit.

Kebanyakan program tersebut merupakan program bercorak mengenang jasa, perjumpaan sosial dan majlis ilmu.

Berikut ialah antara 14 majlis Tun Dr Mahathir yang telah dibatalkan sepanjang tahun ini sebagaimana tersenarai dalam lamanweb pro-Dr Mahathir, KMU.net

1. Ceramah bertajuk 'Memupuk Satu Bangsa Malaysia Menjelang 2020' anjuran Gerakan (28 Jun 2006).

2. Kunjungan hormat ahli Jawatankuasa Kelab Veteran Umno Titiwangsa, Kelab Veteran Umno Titiwangsa, Kuala Lumpur (24 Julai 2006).

3. Syarahan mengenai 'Cabaran Yang Menghadapi Negara Malaysia Kini dan Dunia Seluruhnya Dengan Suatu Rujukan Khas Kepada Umat Islam, anjuran Mubarak Kelantan (27 Julai 2006).

4. Program Jasamu Dikenang, "Sejalur Bakti-Sekalung Budi" sempena ulangtahun Pemuda Umno, anjuran Pergerakan Pemuda Umno Selangor (24 Ogos 2006).

5. Upacara perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Besar, anjuran Umno Bahagian Padang Besar (26 Ogos 2006).

6. Majlis Bersama Dalam Wacana Patriotisme Bersama Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), anjuran Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir, UUM (6 September 2006).

7. Menyampaikan ceramah di Latihan Diplomatik Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) anjura IDFR (6 September 2006).

8. Undangan khas ke kursus Pengembangan Minda II di Langkawi Lagoon Resort, anjuran Dewan Perniagaan Melayu Perlis (8 September 2006).

9. National Students Global Discourse, anjuran Kelab Ma'aruf, Universiti Islam Antarabanga (UIA) (23 September 2006)

10. Menyampaikan ceramah kemerdekaan "Bicara Bersama Tokoh", anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan Selayang (tarikh yang diminta sebelum penarikan undangan ialah antara 29 Ogos dan 16 September 2006).

11. Majlis Mengenang Jasa Tun Dr Mahathir Mohamad, anjuran Pekida Negeri Johor (3 November 2006).

12. Majlis Malam Jasamu Dikenang, anjuran Badan Amal dan Kebajikan Masyarakat Prihatin dan NGO Baling, Kedah (3 November 2006).

13. Jemputan sebagai penal Forum "Sejenak Bersama Pemimpin," anjuran Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pergerakan pemuda Umno Malaysia (11 November 2006 ditangguhkan kerana dekat dengan perhimpunan).