Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imam Besar: Masjid Putra memang sedia kuota 30 tempat untuk VIP
Diterbitkan:  Sep 12, 2021 8:02 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Masjid Putra di Putrajaya sememangnya memperuntukkan kuota khusus untuk kalangan VIP di jabatan kerajaan bagi sembahyang Jumaat, menurut imam besar masjid itu, Ikmal Zaidi Hashim.

Ikmal berkata, kuota itu sebanyak 10 peratus, iaitu sebanyak 30 tempat daripada kapasiti 300 jemaah yang dibenarkan, dan untuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas.

“Tuan-tuan kena faham, Masjid Putra adalah masjid kerajaan, duduk di sebelah Jabatan Perdana Menteri. Jadi kita kena bagi kuota sedikit, tak banyak, 10 peratus sahaja. Untuk siapa? Untuk VIP. Jangan marah saya, itu ketetapan.

“Kita nak bagi peluang kepada VIP - pengarah dan ke atas. Mereka ini sibuk, kadang-kadang lambat keluar daripada mesyuarat pada hari Jumaat. Jadi kita bagi peluang kepada mereka untuk penuhkan kuota 30 orang, (manakala) 270 kuota untuk jemaah biasa,” katanya menerusi siaran langsung di laman Facebooknya semalam.

Ikmal menjelaskan kumpulan itu juga harus memberikan nama lebih awal kepada pihak masjid untuk mendapat tempat dalam sembahyang Jumaat, manakala kuota orang awam menggunakan konsep "siapa cepat dia dapat".

Jumaat lalu, tular klip video menunjukkan sekumpulan orang berkumpul di depan pintu pagar Masjid Putra yang ditutup, dipercayai tidak dapat masuk ke masjid untuk bersembahyang Jumaat kerana kuota telah penuh.

Tidak lama kemudian, ketika mereka masih menuggu di situ, kelihatan seorang lelaki keluar dari sebuah kenderaan mewah dan dibenarkan masuk ke masjid berkenaan diiringi dua lelaki dipercayai pengawal keselamatannya.

Video itu tular di media sosial dengan kebanyakannya mempertikai apa yang disifatkan mereka sebagai layanan berbeza terhadap jemaah.

Susulan itu, Masjid Putra semalam dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan masjid telah memperuntukkan “sejumlah kuota” daripada 300 kuota yang ditetapkan, untuk “jemaah tetap” yang telah mendaftar lebih awal.

Jemaah tetap itu, kata pihak masjid, telah memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan pihak pengurusan masjid memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota yang ditetapkan.

Jelas Masjid Putra, pihak masjid telah menasihatkan jemaah secara baik tentang pagar yang akan ditutup apabila kapasiti telah penuh, namun mereka tetap memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku pada Jumaat lalu.

Kejadian itu mendapat perhatian timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary yang meminta agar pihak masjid melayan jemaah yang hadir untuk solat secara sama rata.

Untuk rekod, ketika ini prosedur operasi standard (SOP) untuk solat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan masih dikekalkan di sebalik peralihan status Lembah Klang dari fasa satu kepada fasa dua Pelan Pemulihan Negara.

Mengulas lanjut, Ikmal Zaidi meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak yang merakam kejadian berkenaan dan meyebarkannya, sedangkan mereka yang menunggu di luar pagar pada hari itu sudah pun dimaklumkan tentang kuota yang sudah dipenuhi.

Katanya, memandangkan rentas daerah sudah dibenarkan bermula Jumaat lalu, dia menjangkakan ramai jemaah dari sekitar Putrajaya mengambil peluang untuk bersembahyang Jumaat di Masjid Putra, sehingga ada yang tidak mendapat tempat.

Meskipun mengaku “tidak redha” dengan tindakan merakam video itu, Ikmal Zaidi berkata dia tetap mendoakan agar mereka “mendapat hidayah” daripada Allah - namun mereka haruslah meminta maaf terlebih dahulu daripadanya.

Ikmal Zaidi menjelaskan mengenai syarat keempat taubat nasuha - yang merupakan syarat tambahan kepada tiga syarat utama - iaitu untuk memulangkan hak yang dizalimi kepada pihak yang sepatutnya.

“Kalau ada yang mendengar ini, tolong sampai-sampaikan. Ambil video yang saya cakap ni, kerat sikit, hantarlah kepada sesiapa (yang berkaitan)," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS