Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH, kerajaan pimpinan Ismail Sabri tandatangan MOU esok
Diterbitkan:  Sep 12, 2021 9:48 PM
Dikemaskini: 5:15 PM

Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) esok (13 Sept).

Dalam satu kenyataan bersama, wakil-wakil kerajaan dan PH berkata akan mendedahkan isi perjanjian tersebut kepada umum.

"Kedua-dua pihak juga berusaha untuk mendedahkan memori yang terbuka persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

"Sesuai dengan semangat dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak untuk untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, 13 September 2021 jam 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia," kata kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu lagi MOU itu akan disempurnakan Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti Pakatan Harapan, iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

"Semua pihak telah membuktikan bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi masa wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pedekatan kerjasama secara "dwi-partisan".

"Dengan persefahaman ini, perhatian dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baru melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan, khas memperkasakan masalah parlimen," kata kenyataan bersama itu lagi.

Bagi wakil kerajaan kenyataan itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara Pakatan Harapan pula diwakili oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Pemimpin tertinggi PH dan Ismail Sabri telah terlibat dalam proses perundingan sejak bulan lalu.

Pada kenyataan bersama pertama mereka selepas pertemuan 25 Ogos, kedua-dua pihak berkata mereka setuju antaranya untuk memperkukuhkan institusi parlimen.

Pada hari Jumaat, Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengumumkan kabinet bersetuju dengan tujuh pembaharuan institusi.

Lihat Komen
ADS