Krisis Dr M-Pak Lah: Pemuda Umno pantau bahagian
Pergerakan Pemuda Umno sedang memantau bahagian yang mengkritik sesama mereka berhubung isu pertikaian antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pergerakan Pemuda Umno sedang memantau bahagian yang mengkritik sesama mereka berhubung isu pertikaian antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim berkata, parti membenarkan perbezaan pendapat tetapi mereka mesti mengikut peraturan yang ditetapkan oleh parti.
Oleh itu, katanya, semua bahagian Pemuda perlu menerima keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
"Dalam soal ini parti telah menetapkan ahli berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah.
"Kita menasihatkan mereka supaya menghentikan segera perbalahan sesama sendiri, dan sebaliknya memberi sokongan penuh kepada pucuk pimpinan sedia ada," katanya.
Azimi menegaskan demikian ketika diminta mengulas beberapa bahagian Pemuda Umno yang membantah desakan beberapa pemimpin parti itu supaya keahlian Dr Mahathir dalam umno digantung dan dikaji semula kedudukannya sebagai penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).
'Keterlaluan'
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Sabri Alwi mencadangkan Dr Mahathir keluar dari Umno manakala Ketua Pemuda Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid pula mahu keahlian bekas bekas Presiden itu dalam Umno digantung.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid pula menggesa supaya dikaji semula jawatan Dr Mahathir sebagai penasihat Proton, Petronas dan Lada berikutan tindakan bekas Perdana Menteri itu terus mengecam Abdullah.
Berikutan itu, Pemuda Merbok, Petaling Jaya Utara, Ipoh Barat dan Tampin mengecam gesaan tersebut dan menyifatkan mereka sebagai 'biadap dan keterlaluan'.
Azimi berkata, jika mereka berbalah sesama sendiri perpaduan parti akan terjejas dan ini akan menguntungkan pihak pembangkang.
Bagaimanapun, menurutnya, selama ini Dr Mahathir tidak mengkritik Umno, tetapi sebaliknya hanya mengkritik kepimpinan parti.

